'Syihan lebih layak' – Hong Wan

Hong Wan - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Hong Wan - Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

“SAYA rasa, saya tidak layak, Syihan lebih layak." Itu reaksi pemain terbaik perlawanan akhir Piala FA 2023, Nathaniel Shio Hong Wan ketika mengulas pemilihannya pada sidang media sejurus tamat perlawanan berkenaan.

Menurut pemain berusia 23 tahun itu, penjaga gol skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dilihat lebih layak berdasarkan aksi cemerlangnya mempertahankan pintu gol agar tidak dibolosi.

“Secara peribadi, saya tidak rasa saya layak untuk bergelar pemain terbaik perlawanan kerana Syihan lebih berhak, selepas dia menyelamatkan kami daripada ketinggalan 1-0.

“Apa pun, saya tetap gembira kerana berjaya membantu kemenangan pasukan dengan jaringan saya, namun saya masih rasakan Syihan lebih berhak (dipilih sebagai pemain terbaik),” katanya.

Untuk rekod, Hong Wan membuka jaringan pada minit ke-66 hasil rembatan padu dari luar kotak penalti bagi menewaskan penjaga gol KL City FC, Kevin Ray Mendoza, sebelum pemain import, Leandro Velazquez menambah satu gol lagi pada minit ke-74 bagi memuktamadkan kemenangan skuad Harimau Selatan itu.

Mengulas mengenai aksi final berkenaan, Hong Wang berkata, ia merupakan satu perlawanan yang sukar.

Bagaimanapun katanya, kesemua pemain telah bekerjasama dan memberikan aksi yang terbaik bagi menjamin kejayaan pasukan.

“Ia satu perlawanan yang sukar. KL City menyukarkan kami dan mereka mempunyai beberapa peluang tetapi Syihan menyelamatkan kami.

“Saya rasa kami keluar pada separuh masa kedua dengan mentaliti untuk menang dan kami mempunyai lebih banyak peluang serta gol Bergson yang dibatalkan. Saya dapat rasakan yang gol akan hadir dan saya bernasib baik kerana saya merembat dan ianya masuk namun ia mungkin juga boleh dilakukan pemain lain.

“Saya menerima bola yang baik daripada Afiq Fazail dan ianya membuka ruang kepada saya merembat. Saya bukanlah jenis yang sentiasa merembat tetapi kali ini saya mencuba dan saya beruntung kerana ianya masuk,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!