Dunia ‘comel’ Barbie curi perhatian
ANAK patung Barbie sememangnya begitu sinonim dengan dunia kanak-kanak perempuan yang mengimpikan kehidupan sempurna sebagaimana digambarkan menerusi karakter popular itu.
Kini karakter itu ‘dihidupkan’ dalam pengkisahan menarik filem Barbie yang ditulis dan diarahkan Greta Gerwig, sekali gus mengundang teruja ramai peminat Barbie.
Naskhah yang menampilkan Margot Robbie dan Ryan Gosling sebagai Barbie serta Ken sebagai teraju utama itu mengisahkan tentang dunia serba indah Stereotypical Barbie di Barbie Land.
Suatu hari Stereotypical Barbie tiba-tiba terfikirkan tentang kematian menyebabkan kehidupan sempurna itu bertukar menjadi sebaliknya.
Panik dengan apa yang berlaku, Barbie meminta bantuan Weird Barbie dan dia diminta pergi ke dunia nyata untuk memulihkan semula dirinya.
Ken yang begitu menyukai Stereotypical Barbie, diam-diam mengikuti Barbie ke dunia nyata dan bermula pelbagai kejutan dalam hidup mereka.
Filem ini kelihatan cukup comel dengan elemen-elemen yang begitu dekat dengan karakter Barbie itu sendiri baik dari segi reka bentuk set, kostum, mood dan dialog yang kedengaran sangat menyenangkan.
Bukan hanya menjadi tarikan kepada penggemar-penggemar Barbie, tetapi juga kepada mereka penonton biasa dibawa tanpa paksaan untuk menikmati dunia anak patung yang menjadi kegilaan ramai kanak-kanak perempuan ini.
Bersesuaian dengan karakter Barbie, filem ini membawakan pelbagai isu menarik berkaitan feminisme.
Baik dalam aspek penampilan, kepercayaan diri dan kepimpinan terlihat dekat dengan kehidupan ramai anak-anak gadis di luar sana.
Sungguhpun disampaikan dalam betuk komedi dan dialog bersahaja, namun mesejnya jelas dan dapat dihadam baik biarpun kadang-kala terlihat seperti terlalu banyak yang ingin dimasukkan dalam filem ini.
Menyentuh tentang lakonan, Margot Robbie sememangnya orang yang tepat untuk menjayakan karakter ini.
Dia terlihat sangat sederhana, tetapi pembawakannya berimpak sebagai Stereotypical Barbie yang comel dan mudah menrik perhatian orang di sekelilingnya.
Tidak kurang juga dengan Ryan Gosling, Kate McKinnon dan lain-lain yang berjaya membina keserasian dengan peranan masing-masing dalam filem ini.
Antara yang turut mencuri perhatian tentunya visual dalam filem ini sememangnya menepati gambaran dunia Barbie yang sering dibayangkan dalam dunia imaginasi peminat karakter ini.
Dunia Barbie Land yang dilatari warna merah jambu dengan persekitaran yang menyenangkan berjaya mengikat imaginasi penonton untuk turut sama berada dalam dunia mereka.
Secara keseluruhannya, Barbie adalah sebuah naskhah yang sangat comel dan cukup menghiburkan untuk ditonton sesisi keluarga.
Barbie
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: P13
Genre: Komedi/romantis
Durasi: 1 jam 54 minit
Pengarah: Greta Gerwig
Pelakon: Margot Robbie, Ryan Gosling, America Ferrera, Simu Liu, Kate McKinnon
Edaran: Warner Bros. Pictures
Tarikh Tayangan: 5 Julai 2023
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!