Dua anak yatim tumpang kasih ibu saudara

Nurul Fatihah dan adiknya sedih tidak dapat menyambut Ramadan bersama bapa mereka.
Nurul Fatihah dan adiknya sedih tidak dapat menyambut Ramadan bersama bapa mereka.
A
A
A

ALOR GAJAH - Pada usia yang masih kecil, dua beradik dari Kampung Solok Duku, Masjid Tanah di sini, tabah mengharungi dugaan pemergiaan ayah tersayang akibat sakit darah tinggi sejak tiga minggu lalu, manakala ibu mereka menghilangkan diri.

Nurul Fatihah Abdul Rahim, 9, dan Ammar Izzat Abdul Rahim, 8, kini menumpang kasih ibu saudara, Maznah Othman, 60, dalam sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang sempit.

Lebih menyedihkan hasrat Nurul Fatihah dan adiknya untuk menunjukkan keputusan cemerlang sekolah rendah agama Jabatan Agama Islam Melaka( JAIM) kepada bapa mereka tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Menurutnya, dia teruja untuk berkongsi kegembiraan itu kerana pernah setahun tidak bersekolah kerana dilarikan ibunya sebelum kembali ke rumah ibu saudara yang mesra dipanggil Mak Teh.

Mas Ermieyati (tiga,kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur kepada Maznah (dua,kiri).
Mas Ermieyati (tiga,kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur kepada Maznah (dua,kiri).

"Disebabkan saya dapat nombor satu dan adik nombor dua, ustaz berikan kami RM5 sebagai hadiah. Balik sekolah saya nak tunjuk pada ayah, tapi tak dapat.

"Sampai di rumah, Mak Teh beritahu ayah dimasukkan Hospital Ampang dan kami semua ke Kuala Lumpur, sebelum jenazah ayah dibawa pulang ke Masjid Tanah," katanya.

Tambahnya, walaupun masih sayangkan ibunya yang berasal dari Sarawak, namun demi kebaikan mereka berdua dia mahu terus menetap bersama Mak Teh.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Maznah berkata, dia tidak pernah menghalang kedua beradik itu untuk kembali kepada ibu mereka.

Menurut Maznah, anak saudaranya itu berbinti dan berbinkan Abdul Rahim dan bukan nama Allahyarham adiknya, Ismail Osman kerana arwah ketika itu dinikahkan sindiket nikah palsu dan dia juga melakukan kerja sukarela membersihkan surau di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan memperolehi pendapatan RM500 sebulan.

Katanya, Ramadan kali ini memberi ujian yang besar kepada mereka sekeluarga kerana dua anak lelakinya, Luqman Hakim Z Rosli, 21, dan Luqman Arif, 19 baru sahaja berhenti kerja dan dia terpaksa menggalas tugas sebagai ketua keluarga.

Maznah (tengah) membawa Nurul Fatihah dan Ammar Izzat menziarah pusara bapa mereka di Tanah Perkuburan Islam Solok Duku, Masjid Tanah.
Maznah (tengah) membawa Nurul Fatihah dan Ammar Izzat menziarah pusara bapa mereka di Tanah Perkuburan Islam Solok Duku, Masjid Tanah.

"Syukur walaupun pendapatan yang diperolehi tidak seberapa namun dengan adanya bantuan makanan MAIM sekurang-kurangnya membantu meringankan beban.

"Cuma yang menjadikan masalah, disebabkan masalah dokumentasi makcik susah buka buku akaun kedua-dua anak saudaranya demi untuk masa depan mereka," katanya.

Maznah yang turut menerima kunjungan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyuarakan hasrat supaya ada pihak yang dapat membantu untuk menambahkan sebuah lagi bilik bagi keselesaan anak saudaranya yang yatim itu.

"Seorang mereka perempuan dan dia juga semakin membesar, dengan rumah PPRT dua bilik ini sudah pasti tidak memberikan keselesaan lebih-lebih lagi dua orang anak saya adalah lelaki.

"Saya harap ada bantuan yang boleh membantu kami membiba sebuah bilik dan saya akan terus menyayangi mereka seperti anak sendiri, " katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!