Perak kenal pasti kuarters, balai usang perlukan penyelenggaraan

Mohd Yusri (tengah) turut serta menyertai Kayuhan Mega Perpaduan PDRM Perak bermula di Stadium Indera Mulia pada Ahad.
Mohd Yusri (tengah) turut serta menyertai Kayuhan Mega Perpaduan PDRM Perak bermula di Stadium Indera Mulia pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Polis Perak sudah mengenal pasti balai-balai dan kuarters usang pasukan itu yang memerlukan penyelenggaraan di bawah peruntukan tambahan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pembaikan itu antaranya melibatkan kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Kampar dan Ipoh yang perlu diberi perhatian segera bagi tujuan keselamatan.

"Saya dapati untuk polis Perak ini memang ada balai dan kuarters yang usang. Jadi saya dah arahkan Ketua Jabatan Logistik untuk kenal pasti dan buat penilaian.

"Dengan peruntukan yang kita dapat itu nanti, kita gunakan untuk membaiki kuarters-kuarters ini supaya warga polis kita mendapat keselesaan dan dapat beri perkhidmatan lebih cemerlang kepada masyarakat," katanya.

Mohd Yusri (tengah) bersama sebahagian peserta yang menyertai pelepasan Program Kayuhan Mega Perpaduan PDRM Perak pada Ahad.
Mohd Yusri (tengah) bersama sebahagian peserta yang menyertai pelepasan Program Kayuhan Mega Perpaduan PDRM Perak pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan Program Kayuhan Mega Perpaduan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di Stadium Indera Mulia di sini pada Ahad.

Pada 15 Julai lalu, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha menjamin keselesaan anggota keselamatan negara.

Daripada jumlah itu, RM50 juta diluluskan untuk penyelenggaraan kuarters PDRM dan balai antaranya melibatkan lantai pecah dan tandas.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, peruntukan tambahan itu tidak termasuk bagi pembangunan projek bangunan baharu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di bandar Meru Raya.

"Bangunan baharu IPK itu kita dah dapat kelulusan peruntukan lain. Kita tunggu perkembangannya kerana masih di peringkat Pusat," katanya.

Sementara itu, seramai 1,700 peserta telah menyertai program kayuhan tahun ini membabitkan dua kategori sejauh 15 kilometer dan 50 kilometer di sekitar Ipoh.

Turut serta, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching.

Selain penyertaan semua 15 IPD seluruh negeri, kayuhan turut disertai pasukan dari IPD Betong, Thailand.