Al-Hilal nak kacau Bayern rebut Kane
KELAB Liga Pro Saudi, Al-Hilal dilaporkan enggan melepaskan peluang untuk mendapatkan khidmat penyerang sensasi Harry Kane ketika masa depannya bersama Tottenham Hotspur masih mencetuskan tanda tanya.
Al-Hilal bakal bersaing dengan Bayern Munich yang sudah membuat dua tawaran lumayan, namun ditolak Spurs.
Kane menjadi bahan spekulasi pada jendela perpindahan kali ini dengan pemain berusia 30 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan dari kelab utara London tersebut.
Manchester United pada mulanya berminat untuk mengikat Kane namun usaha mereka terbantut dengan permintaan harga Spurs yang terlalu tinggi.
Spurs ketika ini berdepan nama baharu dalam perebutan untuk mengikat pemain itu dengan satu laporan menyebut Al-Hilal berhajat untuk mendapatkan Kane.
Kelab sudah berunding dengan orang tengah mengenai kemungkinan mengikat Kane, namun Spurs belum dihubungi mengenainya, lapor Sky Sports.
Al-Hilal sibuk dengan membeli pemain dalam jendela perpindahan musim panas dan sudah mengeluarkan belanja besar untuk mengikat bintang Liga Perdana Inggeris.
Ia termasuk 47 juta pound (RM275 juta) kepada Wolverhampton Wanderers bagi khidmat Ruben Neves dan merekrut Kalidou Koulibaly dari Chelsea dalam perjanjian bernilai 33 juta pound (RM193 juta).
Kelab itu turut menandatangani perancang tengah Serbia, Sergej Milinkovic-Savic dari Lazio dengan harga 34 juta pound (RM199 juta).
Kane berada di Bangkok bersama Spurs bagi aksi jelajah pramusim namun perbincangan mengenai masa depannya masih berlegar di kelab itu.
Bagi Bayern pula, mereka optimis berpeluang cerah memeterai kontrak untuk mengikat penyerang itu kerana dilaporkan sudah mendapat jaminan bahawa Kane amat berminat untuk menyertai kelab gergasi Jerman itu.
Tawaran terbaharu kelab Bundesliga itu 70 juta pound (RM410 juta) ditolak pemilik Spurs, Daniel Levy tetapi kelab Jerman itu dijangka kembali dengan bidaan ketiga apabila kelab itu kembali ke London.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!