Sabar, yakin kunci kejayaan JDT

JDT meraikan kemenangan trofi kedua musim ini. - Foto FB Johor Southern Tigers
JDT meraikan kemenangan trofi kedua musim ini. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

KEJAYAAN Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan kejuaraan Piala FA kedua berturut-turut disifatkan bukan sesuatu yang mudah kerana ia menuntut kesabaran dan keyakinan tinggi.

Malah menurut pengendali skuad Harimau Selatan itu, Esteban Solari, juara sembilan kali berturut-turut Liga Super berkenaan dipaksa bekerja lebih keras berbanding dalam dua aksi liga terdahulu ketika melayan corak permainan Kuala Lumpur (KL) City FC sebelum menjinakkan kelab Lembah Klang itu 2-0 dalam perlawanan akhir.

Katanya, corak permainan sempurna skuad kendalian Bojan Hodak pada aksi final di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri mencetuskan kesukaran kepada kesebelasan Harimau Selatan hingga terpaksa bertungkus-lumus mencari jaringan sebelum jaringan Nathaniel Shio Hong Wan pada minit ke-66 dan Leandro Velázquez (m-74), mengesahkan kejuaraan adalah milk JDT.

"Ya, malam ini (Sabtu), anda dapat lihat sendiri satu perlawanan sukar bagi kami kerana ia merupakan perlawanan akhir walaupun kami kerap melakukan serangan dan mencipta peluang.

Bukan sesuatu yang mudah namun keyakinan serta kesabaran pemain berjaya mengekalkan momentum pasukan untuk terus menguasai permainan.

"Contohnya, pada separuh masa pertama walaupun kami menguasai permainan, namun kami bergelut untuk merobohkan benteng pertahanan KL City menyebabkan pemain kami mula keletihan selepas melakukan pelbagai gerakan dan transisi.

"Namun semasa rehat, saya beri kata-kata semangat agar pemain lebih bersabar serta perbaiki kelemahan di separuh masa pertama dan ternyata segalanya berhasil buat pasukan," katanya selepas perlawanan tersebut.

Untuk rekod, JDT menewaskan Terengganu City FC 3-1, pada aksi final edisi 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mengulas mengenai gol hasil percubaan jarak jauh Shio Hong Wan, Solari mengakui tidak menduga jaringan pemain tengah berusia 22 tahun itu berjaya menewaskan penjaga gol The City Boys, Kevin Mendoza.

"Ya, saya amat gembira dengan kualiti permainan Shio Hong Wan yang memberi sepenuh jiwa raga apabila turun beraksi.

Saya memberitahu kepadanya akan tiba masanya dia akan menjaringkan gol.

"Dia juga aktif memberikan bantuan kepada rakan sepasukan lain dengan bertindak menghalang pemain lawan di posisi tengah," kata Solari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!