Wai Ching tawan Berjaya Times Square
JAGUH larian menara, Soh Wai Ching meneruskan pencapaian luar biasa apabila menggungguli cabaran menaiki bangunan Berjaya Times Square setinggi 203 meter (m) dalam kejohanan sulung, Berjaya Times Square Tower Run 2023 di Kuala Lumpur pada Ahad.
Pelari nombor satu dunia itu melakukan larian 47 tingkat melibatkan 1,061 anak tangga dalam masa lima minit enam saat (s) untuk memegang gelaran pertama perlumbaan berprestij itu.
Kejayaan yang diraih berkenaan sekali gus menjadi kemenangan ke-67 tahun ini selepas atlet berusia 28 tahun itu menyertai 100 kejohanan.
Mengulas mengenai perlumbaan hari ini, Wai Ching berkata beliau amat berbangga mampu memahat nama di tanah air meskipun mengakui menghadapi cabaran sukar ketika membuat larian.
“Perlumbaan tadi agak mencabar, sebab saya mulakan larian terlalu laju dan cuba untuk kekal, memang sukar sikit tapi boleh selesaikan larian, lepas sampai jer garisan penamat memang saya terbaring.
“Saya sasar sebenarnya nak bawah lima minit tapi keputusan ini sudah okay, tahun depan saya nak pecah rekod ini,” katanya di Kuala Lumpur pada Ahad.
Tempat kedua dan ketiga menjadi milik pelari Taiwan, Ching Chung Lo dan Yu Chieh Yen masing-masing merekodkan larian 5:47s dan 5:57s.
Dalam pada itu, atlet kelahiran Selangor terbabit mengintai untuk mempertahankan kejuaraan ketiga di The Empire State Building Run-Up (ESBRU) di New York 4 Oktober depan.
Wai Ching yang sebelum ini menjadi pelari Asia pertama memenangi ESBRU berkata, dia mahu terus mencipta sensasi di kejohanan terbabit dengan memecahkan rekod yang dicipta Paul Crake dari Australia sepantas 9:33s pada 2003.
Beliau yang mencapai kedudukan nombor satu dunia pada Mei 2022, berazam untuk mengekalkan pencapaian tersebut untuk 10 tahun akan datang.
Pada 18 Julai lepas, Wai Ching menerima Anugerah Khas bagi Anugerah Sukan Negara 2022. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!