Pengarah JPJ Pulau Pinang dirakam keterangan
GEORGETOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Mohamat Johari Mat Nor untuk dirakam percakapan berhubung isu rasuah semalam.
Menurut sumber, Mohamat dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi berhubung kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa muatan lebih di sekitar negeri ini.
Tambah sumber, SPRM tidak bercadang untuk memanggil Mohamat semula setakat ini.
"Kita hanya merakam percakapan Mohamat sebagai saksi dan tidak bercadang memanggil beliau semula.
"Buat masa ini, kita juga tidak bercadang memanggil mana-mana bekas pengarah JPJ Pulau Pinang yang lain," katanya ketika dihubungi tadi.
Selain Mohamat, seorang lagi penguatkuasa JPJ Pulau Pinang ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes sama.
Menurut sumber lagi, ketua pembantu penguatkuasa Gred KP22 itu ditahan pada jam 10 pagi tadi di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang.
"Dia hadir dalam keadaan mulut berjahit kerana mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.
"Penguat kuasa berusia 52 tahun itu sepatutnya hadir memberi keterangan bersama 21 lagi pegawai JPJ yang ditahan dalam fasa ketiga April lalu, namun beliau tidak dapat hadir kerana terbabit dalam kemalangan," katanya.
Tambahnya, dia dijangka akan dibebaskan petang ini selepas SPRM merakam percakapanya.
"Pegawai berkenaan sebelum ini dikecualikan daripada hadir memberi keterangan di pejabat SPRM kerana masih dalam tempoh cuti sakit.
"Kita mengambil keterangannya sebagai suspek dan dia dijangka akan dibebaskan petang ini," katanya.
Sehingga kini, seramai 80 individu, termasuk 74 penguat kuasa JPJ negeri berjawatan Gred 19 hingga Gred 32 telah menjalani rakaman percakapan bagi membantu siasatan kes terbabit.
17 April lalu, 23 daripada 24 anggota penguatkuasa JPJ negeri yang direman SPRM dibebaskan dengan jaminan manakala seorang lagi masih ditahan berikutan siasatan ke atasnya belum selesai.
Beberapa hari selepas itu, 22 anggota penguatkuasa lagi ditahan namun 17 daripada mereka difahamkan dibebaskan dengan jaminan.
Minggu berikutnya, dua lagi anggota penguat kuasa JPJ termasuk seorang dari JPJ Perlis turut direman berhubung kes sama.
Semua penguat kuasa JPJ Gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima bayaran bulanan sebanyak RM10,000 sebulan dan sehingga kini jumlah terkumpul bagi kesemua wang rasuah itu sudah melebihi RM140,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!