Aira terlepas gelaran juara remaja dunia
HARAPAN pemain muda negara, Aira Azman untuk menoktahkan kemarau kejuaraan 22 tahun pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2023 di Australia tidak kesampaian.
Pemain berusia 19 tahun itu terpaksa akur dengan aksi cemerlang juara bertahan dari Mesir, Amina Orfi apabila kalah 11-8, 11-5, 11-1 dalam tempoh 31 minit dalam aksi final di Pusat Sukan dan Akuatik Melbourne pada Ahad.
“Aksi amat sukar. Amina mempamerkan permainan yang sangat baik. Sedikit kecewa dengan kekalahan ini tetapi saya harap (permainan) akan bertambah baik selepas ini.
“Saya dapat rasakan peningkatan kali ini berbanding tahun lalu. Mungkin tidak dapat meraih gelaran tetapi gembira kerana mara ke final dan ini yang pertama kali selepas dilakukan Datuk Nicol (David) 22 tahun lalu,” kata Aira
Kejohanan tersebut menjadi pengalaman berguna buat Aira yang akan mengalas cabaran Malaysia pada Sukan Asia Hangzhou, September depan.
“Saya gembira dapat mewakili negara ke Sukan Asia. Saya harap dapat mempertingkatkan prestasi sebelum temasya dan dapat mempamerkan aksi terbaik,” kata Aira.
Aira mara ke final selepas mengejutkan pilihan kedua dari Mesir, Fayrouz Aboelkheir 12-10, 11-7, 11-8 pada separuh akhir sekali gus berpeluang merangkul gelaran juara remaja dunia selepas kali terakhir dilakukan Datuk Nicol David pada 2001.
Nicol merupakan satu-satunya pemain negara yang pernah meraih gelaran dalam acara perseorangan wanita pada kejohanan itu, dua kali pada 1999 dan 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!