Tebing terhakis ancam nyawa penduduk

Zainuddin meninjau keadaan hakisan pada sistem saliran berkenaan.
Zainuddin meninjau keadaan hakisan pada sistem saliran berkenaan.
A
A
A

SUBANG - Penduduk berhampiran kawasan Lot 3373, Jalan Tembusu, Kampung Melayu Subang diancam risiko bahaya susulan daripada keadaan tebing sistem saliran di sini yang terhakis sejak dua minggu lalu.

Lebih membimbangkan, hakisan tersebut juga dikatakan akan semakin teruk khususnya pada waktu hujan lebat.

Menurut seorang pengusaha bengkel di sini, Zainuddin Deraman,47, keadaan hakisan itu telah berlaku sejak beberapa bulan lalu namun keadaannya menjadi semakin teruk dua minggu lepas berikutan hujan lebat pada waktu itu.

"Struktur tanah di kawasan ini mungkin tidak kuat dan menyebabkan hakisan berlaku pada waktu hujan," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, tebing sistem saliran yang terjejas itu amat berisiko berikutan ia hanya terletak beberapa meter dari kediaman penduduk di sini.

Hujan lebat dua minggu lalu menyebabkan hakisan pada sistem saliran di sini.
Hujan lebat dua minggu lalu menyebabkan hakisan pada sistem saliran di sini.

Malah, selain penempatan penduduk, dia berkata, terdapat beberapa bengkel yang beroperasi bersebelahan kawasan sistem saliran terlibat turut terjejas dan berada dalam situasi bahaya.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan hakisan ini amat membimbangkan dan penduduk gusar situasi akan semakin teruk jika hujan lebat turun selepas ini," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Hafnizani Abu Hamifah, 39, berkata, dia terpaksa mengeluarkan kos sebanyak RM4,000 bagi membina benteng sementara yang diperbuat daripada konkrit susulan daripada insiden tersebut.

Hafnizani berkata, tindakan tersebut diambil berikutan pihaknya bimbang tentang aspek keselamatan selepas hakisan itu berlaku.

"Benteng ini hanya dapat bertahan sementara dan tindakan segera perlu diambil sebelum keadaan semakin serius.

"Saya bina benteng ini pun sebab siang malam tak dapat tidur kerana bimbangkan tentang aspek keselamatan," katanya.

Hafnizani membina benteng konkrit sementara berikutan bimbangkan keselamatannya.
Hafnizani membina benteng konkrit sementara berikutan bimbangkan keselamatannya.

Tambahnya, pihak berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Sakiran (JPS) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) perlu segera mengambil tindakan bagi mengatasi permasalahan itu sebelum sebarang kejadian tidak dingini berlaku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!