Rakyat Kelantan perlu beri peluang pada Kerajaan Perpaduan - TPM

Ahmad Zahid (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Silaturahim bersama Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Kelantan.
Ahmad Zahid (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Silaturahim bersama Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Kelantan.
A
A
A

GUA MUSANG - Rakyat Kelantan perlu memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan bagi memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat di negeri itu perlu melakukan perubahan memandangkan sudah 33 tahun ditadbir bawah kerajaan yang sama iaitu Pas.

“Berilah peluang kepada kepada Kerajaan Perpaduan untuk melakukan perubahan di negeri ini kerana kasihan kepada rakyat.

“Cuba beri satu penggal iaitu lima tahun sahaja, kalau kami buat perkara sama atau tidak betul, boleh tukar balik (kerajaan), tetapi kali ini cuba beri dukungan kepada kami. Insya-ALLAH kami akan melakukan yang terbaik,” katanya pada Program Silaturahim bersama Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Kelantan di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) pada Ahad.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan akan memastikan nasib rakyat di negeri ini dibela dengan pelbagai kemajuan.

Beliau berkata, meskipun Kerajaan Perpaduan tidak sempurna namun segala kelemahan akan diperbaiki bagi kepentingan rakyat.

“Kami akan memastikan nasib rakyat Kelantan dibela dan kemunduran negeri ini ditebus dengan kemajuan lebih pesat.

“Kami akan terus bantu negeri ini dan apatah lagi sekiranya Kelantan berada di tangan Kerajaan Madani,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, setiap perancangan untuk membangunkan ekonomi negeri itu lebih mudah untuk diselaraskan jika Kelantan berada di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan selaku kerajaan Persekutuan ketika ini.

Beliau berkata, antara cadangan yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah untuk menjadikan Kelantan sebagai negeri yang menerima pengeluaran pelaburan asing (FDI).

“Rakyat Kelantan tidak harus dipinggirkan lagi,” ujarnya

Selain Kelantan, lima lagi negeri iaitu Kedah, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan mengadakan PRN pada 12 Ogos dengan penamaan calon pada 29 Julai manakala pengundian awal 8 Ogos.

Suruhanjaya Pilihan Raya turut menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak pada tarikh yang sama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!