PRN: Pengundi diingatkan tidak terpengaruh gelombang PN
PADANG TERAP - Barisan Nasonal (BN) Kedah mengingatkan pengundi di negeri ini agar tidak terpengaruh dengan gelombang yang cuba dicetuskan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, pengundi perlu membuat pilihan untuk memilih parti tepat dan keutamaan juga adalah kepada pembentukan kerajaan yang majmuk.
"Dia (PN) nak harap kepada gelombangnya. Jadi tak akan lah kita nak menjadi kerajaan ini, rakyat nak kepada gelombang.
"Rakyat dah tentu nak kepada satu kerajaan yang mantap, progresif, dinamik dan boleh menghasilkan satu keputusan untuk rakyat sama ada dalam konteks pembangunan, pendidikan, agama, belia, anak muda serta sektor ekonomi," katanya pada sidang akhbar pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Padang Terap di Pejabat UMNO Bahagian Padang Terap, dekat sini.
Mahdzir yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah berkata, menjelang PRN ini, BN dan Pakatan Harapan (PH) akan memperkenalkan calon mereka di atas pentas yang sama sebelum penamaan calon.
Menurutnya, pada majlis itu juga mereka akan turut melancarkan manifesto bersama bagi membawa tawaran pentadbiran gabungan kedua-dua parti itu pada PRN ini.
"Dari segi pergerakan jentera pula, kita sudah ada kesepakatan bersama. Di Padang Terap misalnya perbincangan sudah dimulakan bagi memastikan agihan tugas dan strategi dirangka bagi memenangkan calon-calon kita.
"Lebih 20 Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan ditandingi oleh BN kali ini dan memerlukan kita menyakinkan pegundi untuk mengundi parti sahabat dalam Kerajaan Perpaduan. Ada kaedah yang perlu digarap bagi memastikan sokongan pengundi BN mengundi PH," ujarnya.
Dalam pada itu, Mahdzir turut mengesahkan DUN Tanjung Dawai yang belum diumumkan setakat ini akan ditandingi oleh calon BN.
Pada Jumaat, BN mengumumkan senarai calon yang akan bertanding di 14 kerusi DUN di Kedah pada PRN kali ini dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula mengumumkan 10 calon parti itu untuk bertanding di Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!