Longgar syarat bahasa Tamil: Peluang pelajar kuasai banyak bahasa

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kelonggaran syarat semasa untuk Bahasa Tamil diajar sebagai bahasa tambahan di sekolah menengah dilihat mampu memberi kelebihan kepada pelajar untuk menguasai lebih banyak bahasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Datuk R Ramanan berkata, langkah berkenaan juga membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim prihatin terhadap keperluan kepelbagaian masyarakat di negara ini.

"Kalau kita tengok, ramai dalam kalangan orang India memang sayang akan bahasa ibunda mereka dan sentiasa mengambil tahu perkembangan semasa yang berkaitan dengannya kerana ini adalah satu tradisi, budaya mereka.

"Jadi amat penting untuk kita menyambung tradisi ini supaya ada kesinambungannya. Dalam masa sama, kita harus memberi peluang kepada pelajar lain untuk mempelajari bahasa ini (Tamil) kerana kalau hidup MADANI di Malaysia ini, adalah lebih baik jika kita boleh bertutur seberapa banyak bahasa yang boleh,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Ahad.

Semalam, Anwar berjanji akan berbincang dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagaimana syarat semasa untuk Bahasa Tamil diajar sebagai bahasa tambahan di sekolah menengah, boleh dilonggarkan.

Anwar berkata, syarat minimum semasa ialah perlu ada 15 pelajar untuk sebuah kelas Bahasa Tamil diadakan dan mencadangkan Kementerian Pendidikan untuk melakukan pelarasan.

Walaupun Dasar Pendidikan Kebangsaan mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah dan menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris untuk meningkatkan kemahiran dalam bahasa itu, Anwar berkata, pada masa sama pelajar juga digalakkan mempelajari bahasa tambahan di sekolah menengah.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, pelbagai persediaan rapi perlu diambil sebelum langkah itu direalisasikan agar tidak membebankan guru.

Sementara itu, Concerned UM Indian Graduates (CUMIG) dalam kenyataan pada Ahad mencadangkan agar apa yang dinyatakan Perdana Menteri itu dapat diterjemahkan dalam bentuk pindaan perundangan untuk menjamin kesinambungan pelaksanaannya.

CUMIG berkata, pindaan perlulah dilakukan terhadap Seksyen 2 Akta Pendidikan 1996 yang menyatakan pengajaran Bahasa Cina dan Bahasa Tamil di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan boleh diadakan dengan syarat jika ada permintaan 15 ibu bapa atau lebih.

"CUMIG mengalu-alukan cadangan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang semestinya akan memberikan nilai tambah kepada para pelajar dari segi penguasaan bahasa tambahan selain meluaskan akses kepada pendidikan bahasa ibunda di peringkat pendidikan menengah.

"Pada masa sama, perubahan dasar pengajaran dan pembelajaran bahasa ibunda ini perlu diperluas di peringkat pendidikan rendah,” menurut CUMIG. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!