Laluan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas mendap
ISKANDAR PUTERI - Kejadian tanah mendap di Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas, di sini, yang tular di media sosial, tidak membabitkan kemalangan jiwa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II, Hairulnizam Mohd Noh yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada jam 2.09 petang Ahad.
Katanya, mendapan berlaku di sepanjang 25 meter kawasan jalan raya utama di lokasi kejadian.
"BBP Iskandar Puteri menggerakkan tujuh anggotanya bersama sebuah jentera ke lokasi yang dilaporkan berlaku mendapan.
"Pemantauan dijalankan oleh anggota bagi penilaian risiko dan memastikan keadaan sekeliling selamat.
"Kerja selanjutnya diserahkan kepada pihak polis untuk mengawal lalu lintas di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam pada itu, Pengurusan Forest City dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya akan melakukan siasatan penuh berhubung kejadian tanah mendap terbabit.
Katanya mereka juga akan memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan berhubung kejadian tersebut.
"Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2 petang tadi, sebaik sahaja dimaklumkan, Forest City telah menghantar pasukan teknikal ke lokasi kejadian selain turut memaklumkan pihak berkuasa.
"Siasatan akan dibuat bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Projek baik pulih akan dilaksanakan secepat mungkin dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan melalui media sosial Forest City dari semasa ke semasa," katanya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!