Peruntukan tambahan RM1.4 bilion tambah baik sekolah daif

Anwar menghadiri Program Cakna Madani Perdana Menteri Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian pada Ahad. - Foto Bernama
Anwar menghadiri Program Cakna Madani Perdana Menteri Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak RM1.4 bilion peruntukan tambahan disalurkan bagi menambah baik bangunan sekolah daif di seluruh negara tahun ini.

Peruntukan berkenaan termasuk RM185.37 juta untuk penambahbaikan bangunan sekolah di Kelantan manakala Terengganu dan Pahang masing-masing RM78.93 juta dan RM64.15 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu merupakan satu keperluan bukannya kerana Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Sebanyak 50,000 unit komputer riba juga diluluskan awal tahun lalu dan dijangka diagihkan pada Oktober depan.

"Bagaimanapun, perolehan tender biasanya dalam tempoh enam bulan. Tak boleh tak tender, nanti ada 'sakau'," katanya.

Beliau berkata demikan dalam ucapan dan soal jawab bersama guru pada Program Cakna Madani Perdana Menteri Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia di Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalannya, Lim Hui Ying.

Anwar turut memberitahu, akan ada kelonggaran mengikut proses tender terhad dan disegerakan supaya dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan jika kes mendesak.

Selain itu katanya, bagi program digitalisasi di sekolah, sebanyak RM4.4 juta diperuntukkan di Kelantan, RM2.2 juta di Terengganu dan RM2.9 juta di Pahang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!