Jenazah Salahuddin akan dikebumikan di Tanjung Piai
ALOR SETAR - Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub akan dikebumikan di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai, Johor.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Akhbar beliau, Nur Syakirin Husnal 'Az' Hari kepada media pada Ahad.
"Dengan penuh dukacita dan pilu, adalah dimaklumkan bahawa Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 23 Julai 2023 jam 9.23 malam.
"Jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, pejabat Menteri KPDN akan memberikan maklumat lanjut mengenai proses pengurusan jenazah dalam masa terdekat.
"Sehubungan dengan itu, pihak keluarga Allahyarham ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak atas doa dan ingatan yang diberikan terhadap Allahyarham selama ini," katanya.
Nur Syakirin berkata, keluarga Allahyarham juga ingin berterima kasih kepada semua doktor dan petugas di hospital itu.
"Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama orang yang beriman," katanya.
Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada jam 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
ARTIKEL BERKAITAN:Salahuddin Ayub meninggal dunia
Salahuddin dikejarkan ke hospital selepas mual, muntah-muntah
Salahuddin alami pendarahan otak, sedang jalani pembedahan
Fadillah, Nanta doakan Salahuddin diberi kesembuhan
Salahuddin selamat jalani pembedahan
Jangan sebar spekulasi berhubung status kesihatan Salahuddin - SUA
Anak mohon hanya ahli keluarga lawat Salahuddin
Keadaan Salahuddin stabil, dalam pemantauan ICU - Dr Zaliha
Anwar doakan Salahuddin segera sembuh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!