Belangsungkawa Datuk Seri Salahuddin Ayub

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

SHAH ALAM - Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub merupakan figura penting dalam masyarakat setelah menjadi pencetus kepada pelbagai Inisiatif Rahmah yang memberi banyak kelegaan kepada rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup.

Pemergian Allahyarham tentunya amat dirasai segenap lapisan rakyat yang sebelum ini sentiasa ternanti-nanti perkembangan mengenai Inisiatif Rahmah iaitu Menu Rahmah, Bakul Rahman, Pakej Rahmah dan Kafe Rahmah.

Ilham yang digerakkan Allahyarham dibawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu, boleh dianggap sebagai 'jenama' tersohor yang boleh dibanggakan Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Allahyarham yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran ke-62 pada 1 Disember tahun ini memiliki keperibadian yang cukup disenangi, malah antara pemimpin yang mudah didekati rakyat dan media.

Berketurunan peranakan Melayu-Cina, Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Seri Fatimah Taha dan enam orang anak.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini juga pernah berkhidmat sebagai pegawai kewangan di MUI Bank pada 1980 sebelum terjun ke bidang politik tiga tahun selepas itu.

Allahyarham juga bergiat aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO), sehingga dilantik sebagai Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Pontian pada tahun 1981 hingga 1983.

Memulakan perjuangan di area politik sejak tahun 1983 menerusi Pas, Allahyarham bagaimanapun memilih berhenti berjuang di bawah parti itu setelah 32 tahun.

Pada 2015, Allahyarham memilih Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai platform baharu bagi meneruskan perjuangan politiknya meskipun ketika itu Allahyarham merupakan pemimpin penting Pas, iaitu sebagai Naib Presiden Pas sejak tahun 2009.

Sebagai pemimpin yang berpengaruh, Allahyarham diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden Amanah selama dua penggal berturut-turut.

Menerusi tiket parti Amanah yang merupakan sebahagian Pakatan Harapan (PH), Allahyarham juga memenangi kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi kawasan Simpang Jeram di Muar dan kerusi Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum 2018.

Allahyarham juga dilantik sebagai Naib Presiden bagi Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 22 September 2015.

Menelusuri sejarah perkhidmatan Allahyarham dalam kabinet, Salahuddin dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berikutan kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) namun melepaskan jawatan pada 24 Februari 2020.

Bagaimanapun, setelah PH sekali lagi berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan pada PRU15, Allahyarham kembali diletakkan dalam barisan kabinet, namun kali ini sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Jasa dan bakti Allahyarham kepada masyarakat dalam memastikan nasib rakyat terus terbela khususnya menerusi 'air tangan' terakhir sebagai menteri tersebut akan terus terpahat dalam hati dan ingatan rakyat Malaysia yang mendapat manfaat daripada inisiatif yang digerakkan.

Perjuangan Allahyarham dalam segenap aspek waima dalam politik, serta tadbir urus kerajaan juga akan kekal dalam lipatan sejarah negara.

ARTIKEL BERKAITAN:

Salahuddin Ayub meninggal dunia

'Berehatlah sahabatku...' - Anwar

Suasana pilu selubungi ketibaan jenazah Salahuddin

Jenazah Salahuddin selamat disolatkan di Masjid Al-Badar

Jenazah Salahuddin dikebumi di Pontian tengah hari Isnin

Jenazah Salahuddin akan disembahyangkan di Masjid Al-Badar

Salahuddin aktif pastikan tiada kenaikan harga barang - Mat Sabu

Salahuddin rakan baik, budiman - Sanusi

Pesawat khas bawa pulang jenazah Salahuddin ke Johor Bahru

Jenazah Salahuddin akan dikebumikan di Tanjung Piai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!