Anwar dan Muhyiddin perlu henti berbalah isu Felda

Gambar dari kiri: Anwar, Muhyiddin
Gambar dari kiri: Anwar, Muhyiddin
A
A
A

MERAK Jalanan puji dengan dua tokoh besar negara iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana kedua-duanya berjasa besar kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Melupuskan hutang peneroka dan membantu kedudukan kewangan Felda yang berjumlah RM8.3 bilion itu bukan jumlah yang sedikit.

Jadi orang-orang Felda akan ingat jasa kedua-dua tokoh ini untuk meringankan beban yang ditanggung oleh peneroka kerana harga komoditi kelapa sawit yang tidak menentu.

Walaupun demikian industri sawit tetap menjadi satu komponen penting dalam ekonomi negara kerana menjana pendapatan serta peluang pekerjaan kepada rakyat.

Jadi kita juga hendak ucap penghargaan kepada Allahyarham Tun Abdul Razak yang menjayakan penubuhan Felda ketika beliau jadi Menteri Luar Bandar merangkap Timbalan Perdana Menteri.

Felda diwujudkan pada 1 Julai 1956 dengan modal permulaannya RM10 juta, dan petempatan sulung yang terdiri daripada 16.2 kilometer persegi pokok getah dibuka di Ayer Lanas pada tahun 1957.

Jadi sejak dahulu sampai sekarang Felda ini memang sentiasa jadi anak emas kepada setiap pentadbiran daripada kerajaan Barisan Nasional hinggalah kepada kerajaan Perikatan Nasional dan kini Kerajaan Perpaduan.

Kalau dulu-dulu Felda ni selalu dianggap sebagai deposit tetap yang boleh membawa kemenangan besar dalam pilihan raya.

Jadi kita harap Anwar dan Muhyiddin berhentilah berbalah kerana rakyat tahu anda berdua memang ada niat ikhlas nak bantu orang Felda.

Tetapi kena ingat terdapat kelompok lain seperti pesawah, petani dan nelayan yang turut memerlukan bantuan.

Kedua-dua pemimpin ini diharap dapat juga memberikan perhatian sewajarnya kepada golongan berkenaan.