Selit mesej positif dalam program hiburan

Kumpulan The 1975. Vokalis The 1975, Matty Healy (gambar kanan) dipercayai mabuk dan memegang botol minuman keras ketika membuat persembahan ketika konsert di Litar Antarabangsa Sepang pada Jumaat.
Kumpulan The 1975. Vokalis The 1975, Matty Healy (gambar kanan) dipercayai mabuk dan memegang botol minuman keras ketika membuat persembahan ketika konsert di Litar Antarabangsa Sepang pada Jumaat.
A
A
A

PERBUATAN biadab kumpulan muzik rock dari Britain, The 1975 adalah satu pengajaran pahit untuk kita.

Pelbagai pihak mengecam sekeras-keras tindakan vokalisnya, Matty Healy yang secara terbuka melakukan aksi bercium sesama jenis, meneguk minuman keras dan mempertikaikan undang-undang Malaysia berkenaan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Matty melakukan perbuatan biadab itu ketika membuat persembahan pada konsert The Good Vibes Festival 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada Jumaat malam.

Walaupun pihak penganjur telah memberikan peringatan kepada kumpulan tersebut, namun mereka tetap berdegil dan akhirnya menerima padah. Mereka sepatutnya menghormati dan tahu tentang sensitiviti bagi masyarakat di negara lain. Perbuatan itu jelas disengajakan untuk menunjukkan protes terhadap pihak berkuasa di Malaysia.

Oleh yang demikian, akhbar ini menyokong penuh agar satu garis panduan yang lebih tegas dibuat terhadap kumpulan muzik atau artis antarabangsa yang ingin membuat persembahan di negara ini.

Memang benar kemasukan artis antarabangsa mampu menjana ekonomi negara tetapi dalam masa yang sama kita juga menolak elemen yang tidak sesuai dengan budaya di negara ini.

Walaupun sebenarnya terdapat banyak lagi cara budaya songsang boleh meracuni pemikiran rakyat kita, namun sekurang-kurangnya Malaysia menghantar satu mesej jelas bahawa negara ini mengamalkan kehidupan yang berlandaskan ajaran agama serta norma masyarakat murni.

Kita berharap pihak berkuasa agama juga perlu melakukan lebih banyak usaha untuk memberi kesedaran kepada golongan muda tentang berapa pentingnya untuk mengamalkan gaya hidup yang murni.

Mungkin penerapan nilai-nilai murni ini boleh diterapkan dalam program-program berbentuk hiburan. Penganjur dan artis yang dijemput boleh bercakap tentang bahaya dadah dan juga menjauhi perbuatan yang bertentangan dengan norma hidup masyarakat.

Dalam masa yang sama, adalah lebih baik juga sekiranya penganjur untuk mengutamakan kumpulan muzik atau artis tempatan.

Semoga apa yang berlaku itu menjadi satu titik tolak besar ke arah yang lebih positif dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Madani yang sejati.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!