‘Saya akan kupas kejayaan PH mentadbir Selangor’ - Amirudin

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Town Hall Rakyat Sinar Harian akan menjadi platform Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk mengulas mengenai kejayaan Pakatan Harapan (PH) sepanjang mentadbir negeri tersebut.

Amirudin berkata, pada sesi town hall hari ini, beliau juga akan berkongsi visi dan misinya kepada rakyat Selangor sekiranya sekali lagi diberi mandat pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Menurutnya, Town Hall Rakyat merupakan satu platform yang penting kerana memberi ruang kepada pemimpin mendengar pandangan dan luahan rakyat secara terus.

“Saya amat berbesar hati dan bersedia untuk bertemu para hadirin. Bagi saya platform town hall seperti ini adalah penting.

“Ini (Town Hall Rakyat) adalah platform yang baik untuk rakyat dan pemimpin bertukar pandangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas berkenaan kesediaan untuk menjawab soalan yang bakal diajukan, Amirudin berkata, beliau bersedia selagi ia bersifat membina dalam perbincangan.

“Saya bersedia untuk menjawab sebaik mungkin. Jumpa nanti, insya-ALLAH,” ujarnya.

Sebagai makluman, sesi Town Hall Rakyat sebelum ini telah menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Selain itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Town Hall Rakyat akan dihoskan pelakon popular, Azhar Sulaiman dan boleh disaksikan secara langsung di www.sinarharian.com.my dan semua platform media sosial Sinar Harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!