Suasana pilu selubungi ketibaan jenazah Salahuddin
PONTIAN - Suasana pilu menyelubungi ketibaan jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub di kediaman ibunya pada jam 3.35 pagi, Isnin di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada jam 2.30 pagi menaiki pesawat khas yang diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Alor Setar, Kedah.
Turut mengiringi jenazah isteri, Datin Seri Fatimah Taha dan enam orang anaknya serta Menteri Pertanian dan Kerterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Saudara-mara dan penduduk kampung mula memenuhi pekarangan kediaman ibu Allahyarham, Aminah Abdullah, 83, sejak jam 12 tengah malam.
Jenazah dijangka dibawa ke kediaman Allahyarham di Jalan Adil Serkat dan seterusnya disolatkan di Masjid Jamek Dato Haji Noh Gadot, Serkat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong Serkat.
Salahuddin, yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram meninggal dunia pada 9.23 malam Ahad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.
Pada Jumaat, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada jam 10.15 malam setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Allahyarham, bagaimanapun telah selamat menjalani pembedahan pada pagi Sabtu dan berada dalam keadaan stabil di HSB.
Bagaimanapun Allahyarham ditidurkan dan dipantau rapi di ICU.
Beliau meninggalkan enam cahaya mata hasil perkahwinan dengan isterinya, Datin Seri Fatimah Taha.
Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) sejak tahun 2015.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15 lalu, Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Negeri Johor bagi kawasan Simpang Jeram di Muar.
Sebelum itu Allahyarham pernah dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!