Parti pimpinan PM Kemboja dakwa menang besar dalam pilihan raya

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

PHNOM PENH - Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Perdana Menteri, Samdech Techo Hun Sen, mendakwa mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada Ahad, lapor agensi berita Xinhua memetik jurucakap parti.

Walaupun keputusan rasmi belum diumumkan, jurucakap CPP Sok Eysan mengesahkan keputusan itu pada Ahad.

"Kami menang besar dalam pilihan raya ini, tetapi kami belum mengira jumlah kerusi yang kami peroleh. Ini benar-benar mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan CPP," katanya kepada Xinhua.

Sebanyak 18 parti politik bertanding untuk memilih 125 ahli Dewan Rakyat.

Proses pengiraan kertas undi masih dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) dan keputusan rasmi dijangka dikeluarkan pada 9 Ogos.

Pilihan raya pada Ahad itu adalah yang ketujuh bagi negara itu sejak 1993 dan pada 2018 CPP memenangi kesemua 125 kerusi yang dipertandingkan.

CPP telah memerintah negara Asia Tenggara itu sejak 1979. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!