Berkat restu ibu, minum susu atas bas, Bell Ngasri kekal bertahan
BELL atau lebih popular sebagai Barkoba lewat kebelakangan ini dengan 'trademark' laungan "Yak Yak Yeay" sedang menggilap bukan satu tapi dua trofi yang digenggam selepas 37 tahun menjadi pelaku seni.
Jika tidak menang, tidak ramai yang tahu kesukaran Bell atau nama sebenarnya, Nasrizal Ngasri, 42, berdepan onak duri dunia seni hiburan.
Hanya selepas dinobat paling popular, Bell memuntahkan semua perasaan yang sarat ditanggung.
Paling utama, dalam kesemua ucapannya dapat kita hadam bahawa restu dan doa manusia paling kuat di dalam dunia iaitu ibu adalah kunci kejayaan Bell.
“Saya ingat Mama, dialah yang nak sangat anaknya berlakon.
“Masa kecil, saya enam tahun, adik tiga dan dua tahun mama angkut naik bas mini. Bawa beg dan menyusu bergilir-gilir dalam bas.
“Ini (kemenangan) hadiah untuk dia. Dia (ibu) yang nak sangat anak dia berlakon sampai sekarang. Ah Bell dah buat,” dedah Bell seraya disambut sorak dan tepukan tetamu yang memenuhi ruang Istana Budaya.
Sementara di rumah, seluruh Malaysia yang menyaksikan ucapan Bell barangkali ikut kembang hati dan sebak.
Apa lagi saat Bell membuka cerita: “Sekecil-kecil watak, belakang hero, di celah-celah orang, muka inilah yang orang layan time iklan jika ada majlis seperti ini tapi saya bersyukur ada orang yang minat.
“Akhirnya hari ini menjadi bukti. Terima kasih semua,” katanya lagi.
Tidak mahu khalayak melupakan jasa sutradara Allahyarham Mamat Khalid yang mencipta watak Barkoba lewat siri 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa, Bell juga membuat satu pendedahan.
Dia mengaku adalah pelaku seni yang hanya tahu bekerja dan tidak memerlukan populariti.
Tetapi setelah 37 tahun, kualiti yang tidak pernah berkurang dicurahkan daripadanya akhirnya membawa Bell ke tangga teratas populariti.
“Allahuakbar, bersyukur ke hadrat Ilahi saya adalah antara orang yg pernah cakap tak perlu populariti, tak bergantung dengan benda ini tapi masih ada industri,” katanya.
Dan melalui Bell kita percaya dalam apa keadaan sekalipun yang dipandang lebih tinggi adalah kualiti kerana ia berkekalan, namun populariti adalah seperti air laut yang ada pasang dan juga boleh surut lalu dibawa ombak dan tidak pulang.
Sementara itu, isternya, iaitu Nur Farhana Mahamad Fauri berkongsi sisi lain suaminya ketika bersama keluarga.
Menurut Farhana, Bell seorang bapa yang sangat bertanggungjawab dan tegas dalam mendidik anak-anak.
“Bell sebagai seorang suami dia sebenarnya seorang yang garang terutamanya dengan anak bukan dengan saya.
“Dengan anak dia sangat tegas, saya rasa kalau dia buat kelakar pun anak dia tidak tahu sama ada itu kelakar ke serius.
“Jadi anak-anak memang tidak ambil tahu langsung bapa dia adalah Barkoba ke atau berlakon cerita itu ini ke mereka tidak pernah tahu.
“Jadi bila bapa dia buat lawak dekat rumah, macam tak ada apa-apa, dia lebih kepada serius. Maknanya komunikasi mereka itu lebih kepada bukan benda yang kelakar,” katanya.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai kemenangan Bell di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 35 (ABPBH), Farhana menyatakan rasa syukur dengan rezeki di luar jangkaan itu.
“Saya bersyukur sebab saya benda itu yang dia tak pernah impikan, tak pernah fikir... Saya rasa ini satu pencapaian yang tidak pernah terlintas di kepala. Rezeki di luar jangkaan.
“Saya kenal dia pun bukannya sekejap, sebelum kahwin kita dah kenal lama, dah tengok apa yang dia buat.
“Kita tahu yang dia memang hidup untuk kerja sejak kecil lagi... Jadi saya rasa segala usaha dia selama ini berbaloi. Alhamdulillah,” ujarnya.
Terdahulu, Bell dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di ABPBH 35 yang berlangsung pada Jumaat. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!