Lukaku uji kesabaran Chelsea
CHELSEA mula hilang sabar dengan Romelu Lukaku selepas penyerang itu menolak tawaran dari kelab Arab Saudi.
Lukaku kini berlatih di Cobham setelah kembali ke Blues selepas setahun dipinjamkan di Inter Milan.
Bagaimanapun, bos baharu Chelsea, Mauricio Pochettino mengesahkan dia tidak akan kekal di kelab itu dan tidak membawanya dalam jelajah pramusim The Blues di Amerika Syarikat.
Pemain berusia 30 tahun itu dijangka menyertai semula Inter bagaimanapun dia dilaporkan lebih berminat untuk menyertai Juventus.
Lukaku dikatakan kecewa dengan Inter selepas pengendali pasukan itu, Simone Inzaghi meletakkannya di bangku simpanan ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara musim lalu.
Bagaimanapun, Lukaku menafikan perkara tersebut di Twitter dan secara sindiran menyatakan: “Apabila kebencian itu tidak berkesan, mereka mula berbohong.”
Menurut akhbar Gazzetta dello Sport, kelab Arab Saudi, Al-Hilal membentang tawaran £43 juta (RM253 juta) terhadap penyerang itu tetapi ditolaknya.
The Blues berhasrat untuk menyelesaikan masa depan Lukaku secepat mungkin dan mahu dia menerima tawaran itu.
Juventus tetap berminat terhadap pemain kebangsaan Belgium itu tetapi hanya jika mereka kehilangan penyerang utama Dusan Vlahovic.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!