Salahuddin maafkan semua orang sebelum tidur - Tze Tzin
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mendedahkan Datuk Seri Salahuddin Ayub sentiasa memaafkan semua musuh dan orang yang menyakitkan hati beliau sebelum tidur.
Tze Tzin berkata, amalan tersebut menjadikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu sentiasa reda dan ceria dalam kehidupannya setiap hari.
Menurutnya, Timbalan Presiden Amanah itu juga seorang yang peramah dan baik hati.
“Sim, kamu tahu kenapa saya reda dan senang hati setiap hari?
“Setiap malam, sebelum saya tidur, saya maafkan semua musuh saya dan orang yang menyakitkan hati saya... barulah saya tidur.
“Ini ajaran bekas boss saya DS (Datuk Seri) Salahuddin Ayub kepada saya. Beliau begitu baik hati dan peramah,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada malam Ahad.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 9.23 malam Ahad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.
Salahuddin sebelumnya telah dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada jam 10.15 malam Jumaat setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Tze Tzin yang merupakan timbalan kepada Allahyarham di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini berkata, beliau sempat menziarahi bos lamanya itu di hospital petang Ahad dan menangis sepanjang perjalanan pulang dari Alor Setar ke Pulau Pinang.
“My heart was broken (hati saya luluh),” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!