Salahuddin pejuang kos sara hidup rakyat - PM

Anwar memberi penghormatan terakhir sebelum mengimamkan solat jenazah Salahuddin di Masjid Jamek Dato' Haji Noh Gadot, Serkat, Pontian pada Isnin. - Foto: Bernama
Anwar memberi penghormatan terakhir sebelum mengimamkan solat jenazah Salahuddin di Masjid Jamek Dato' Haji Noh Gadot, Serkat, Pontian pada Isnin. - Foto: Bernama
A
A
A

PONTIAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub konsisten dalam tugasan dan membela rakyat terutama melibatkan kos sara hidup.

Jelasnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu cukup sinonim dengan konsep 'Rahmah' selain sentiasa mencari kaedah untuk meringankan beban rakyat.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya kehilangan seorang sahabat, pejuang yang telah bersama puluhan tahun.

"Allahyarham sinonim dengan konsep Rahmah. Itu yang ditunjukkan Allahyarham yang konsisten dalam tugas bersama saya dan jemaah menteri.

"Malah, Salahuddin tidak pernah terlepas mencari jalan dan kaedah bagi meringankan beban rakyat," katanya ketika ditemui selepas mengimamkan solat jenazah di Masjid Jamek Dato Haji Noh Gadut di Serkat pada Isnin.

Anwar menjelaskan, negara kehilangan tokoh politik yang hebat dan berharap semangat serta dedikasi ditunjukkan Allahyarham sebelum ini menjadi teladan terutama sifat rahmah dan penyayang.

Sementara itu ketika ditanya tentang kekosongan Menteri KPDN, Anwar memberitahu pengganti bagi jawatan itu akan dimaklumkan kemudian.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, kali terakhir bertemu dengan Allahyarham selepas mesyuarat kabinet pada minggu lalu.

"Allahyarham sentiasa bawa agenda meringankan beban kos hidup, setiap minggu beliau akan beri laporan kepada kabinet.

"Seorang yang bekerja keras, amat berdedikasi dan kita kehilangan seorang pemimpin, rakan yang berjiwa besar dan bertungkus lumus.

"Bukan senang jaga kementerian dalam masa sekarang, tekanan dan ditambah banyak orang kata macam-macam, kita semua manusia bukan robot," jelasnya.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, rakyat Johor merasa sedih atas pemergian Allahyarham yang merupakan pemimpin berjiwa rakyat.

"Kita rasa sedih atas kehilangan pemimpin berjiwa rakyat, terutamanya di kawasan diwakili Allahyarham terutama di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

"Semoga keluarga beliau tabah, takziah diucapkan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Salahuddin Ayub meninggal dunia

'Berehatlah sahabatku...' - Anwar

Suasana pilu selubungi ketibaan jenazah Salahuddin

Belangsungkawa Datuk Seri Salahuddin Ayub

Jenazah Salahuddin selamat disolatkan di Masjid Al-Badar

Jenazah Salahuddin dikebumi di Pontian tengah hari Isnin

Jenazah Salahuddin akan disembahyangkan di Masjid Al-Badar

Salahuddin aktif pastikan tiada kenaikan harga barang - Mat Sabu

Salahuddin rakan baik, budiman - Sanusi

Pesawat khas bawa pulang jenazah Salahuddin ke Johor Bahru

Jenazah Salahuddin akan dikebumikan di Tanjung Piai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!