Tidak berlaku protes calon di DUN Ajil

UMNO Bahagian Hulu Terengganu bermesyuarat bersama Ahmad Said pada petang Ahad.
UMNO Bahagian Hulu Terengganu bermesyuarat bersama Ahmad Said pada petang Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - UMNO Bahagian Hulu Terengganu menafikan berlaku tindakan protes terhadap calon sehingga menyebabkan beberapa markas Barisan Nasional (BN) ditutup di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil.

Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Sabri Razak berkata, dakwaan bahawa terdapat bantahan yang dikemukakan penyokong UMNO di pejabat UMNO Terengganu pada tengah hari Ahad juga tidak benar.

"Saya selaku Ketua Penerangan DUN Ajil ingin menjelaskan situasi sebenar yang berlaku di DUN Ajil ketika ini kerana saya sendiri hadir ketika pertemuan bersama Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Said semalam (Ahad).

"Dalam pertemuan itu kami berbincang mengenai strategi untuk memenangkan calon yang diketengahkan oleh pucuk pimpinan parti.

"Justeru, saya mewakili ketua-ketua cawangan DUN Ajil menafikan dakwaan berlakunya isu penutupan markas-markas sebagai tanda protes terhadap calon seperti ditularkan, "katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Jelas Sabri, pihaknya akur terhadap calon yang telah diketengahkan pucuk pimpinan parti kerana telah mengambil kira kriteria 'winnable candidate' yang ditetapkan.

"Tak kiralah siapa pun calon di DUN Ajil, hasrat kami hanyalah satu iaitu mahu memenangkan calon yang telah dipilih.

"Rakan-rakan seperjuangan UMNO dan BN serta barisan kepimpinan juga diseru untuk sama-sama rapatkan saf perjuangan dalam memastikan kemenangan UMNO," ujarnya.

Menurut Sabri, satu perjumpaan khas bersama ketua-ketua cawangan telah diadakan untuk menyatakan sokongan terhadap calon berkenaan.

Terdahulu, bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KMM), Datuk Seri Jailani Johari diumumkan sebagai calon bagi kerusi berkenaan.

Beliau antara 107 calon BN lain yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Pengumuman Calon BN PRN ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Jumaat malam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!