Dua wanita didakwa perdaya pelaburan ujian Covid-19

Mui Fong dan Fui Lee hadir ke Mahkamah Majistret Seremban pada Isnin.
Mui Fong dan Fui Lee hadir ke Mahkamah Majistret Seremban pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban di sini pada Isnin atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki untuk menyertai pelaburan ujian Covid-19 sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian lebih RM300,000.

Tertuduh, Pang Mui Fong, 49, dan Chua Fui Lee, 43, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali, selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama telah didapati menipu seorang lelaki berusia 50 tahun dengan memperdayakan mangsa untuk menyertai pelaburan ujian Covid-19.

Tertuduh telah mendorong mangsa membuat 17 transaksi pembayaran berjumlah RM337,000 bagi urusan terbabit.

Kesalahan itu dilakukan dari 17 Disember 2021 hingga 20 April 2022 di Bandar Seremban, di sini.

Berikutan itu, tertuduh bersama-sama telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya, M Pusspa mencadangkan mahkamah supaya menetapkan wang jaminan RM25,000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Kevin Mahendran yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menetapkan wang jaminan yang tidak berlebihan dengan mengambil kira latar belakang mereka.

"Tertuduh pertama (Mui Fong) hanya bekerja sebagai kerani akaun dan menghadapi empat pertuduhan lain

"Manakala tertuduh kedua (Fui Lee) adalah pesakit barah (kerongkong dan hidung) tahap empat yang kini masih lagi menjalan rawatan," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 24 Ogos depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!