[VIDEO] Warga KPDN akan sentiasa ingat pesanan Salahuddin

A
A
A

PONTIAN - Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan sentiasa mengingati pesanan daripada bekas menterinya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub agar jangan ada ‘orang susah’ dalam kalangan rakyat di negara ini.

Menurut Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh, Allahyarham juga sering mengingatkan agar segala tindakan di kementerian berkenaan perlu dijadikan sebagai ‘ibadah’ dan amal soleh dengan terus membantu rakyat.

Fuziah
Fuziah

“Sudah tentu pemergian beliau satu kehilangan besar buat keluarga KPDN. Allahyarham seorang yang cukup tenang, lembut dalam pendekatannya tetapi komited dalam hala tuju terutama bagi inisiatif Bakul Rahmah.

“Kami amat terasa dengan beliau pesan iaitu ‘jangan ada orang susah.’ Teruskan bantu rakyat.

“Setiap pagi beliau akan tanya, bagaimana rakyat? Gula okey ke? Telur okey ke? Ada tak rakyat dalam susah? Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat kepada roh beliau,” katanya kepada pemberita.

Fuziah berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Kampung Serkat di sini, sempena urusan pengebumian Salahuddin pada Isnin.

Untuk rekod, Salahuddin, 62, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, pada jam 9.23 malam, pada Ahad setelah dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada 10.15 malam Jumaat lalu bagi mendapatkan rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah.

Selepas pembedahan itu, keadaan Salahuddin dilaporkan stabil, namun beliau disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar dan menjalani pembedahan Sabtu lalu sebelum ditidurkan serta dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sementara itu Fuziah berkata, pihak KPDN akan cuba sedaya upaya bagi meneruskan ‘legasi Rahmah’ yang dimulakan oleh Salahuddin selepas ini.

Malah katanya, pihaknya juga akan mulakan dengan inisiatif baharu seperti inisiatif Daya bagi meningkatkan pendapatan rakyat.

“Memang kami mulakan dengan inisiatif Rahmah tetapi kami mahu teruskan dengan inisiatif Daya iaitu meningkatkan daya rakyat itu sendiri.

“Ini kerana apabila daya rakyat itu sendiri dapat dipertingkatkan, barulah dia dapat mengatasi cabaran peningkatan kos sara hidup pada hari ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Salahuddin Ayub meninggal dunia

'Berehatlah sahabatku...' - Anwar

Suasana pilu selubungi ketibaan jenazah Salahuddin

Belangsungkawa Datuk Seri Salahuddin Ayub

Jenazah Salahuddin selamat disolatkan di Masjid Al-Badar

Jenazah Salahuddin dikebumi di Pontian tengah hari Isnin

Jenazah Salahuddin akan disembahyangkan di Masjid Al-Badar

Salahuddin aktif pastikan tiada kenaikan harga barang - Mat Sabu

Salahuddin rakan baik, budiman - Sanusi

Pesawat khas bawa pulang jenazah Salahuddin ke Johor Bahru

Jenazah Salahuddin akan dikebumikan di Tanjung Piai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!