'YB tak sanggup tengok rakyat susah' - Penduduk Parlimen Pulai
JOHOR BAHRU - Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah, Pulai di sini menyifatkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai seorang yang mudah didekati dan akan segera menyelesaikan isu rakyat.
Kalsom Sulaiman, 68, berkata, Ahli Parlimen Pulai itu juga tidak sombong malah tiada jurang apabila datang bertemu penduduk setempat sama ada dalam program tertentu atau perjumpaan biasa.
"Allahyarham yang merupakan wakil rakyat di kawasan ini banyak membantu penduduk di PPR Melana Indah apabila berlaku sebarang masalah. Apabila ada aduan YB akan cepat datang sini.
"Penduduk juga senang dengan beliau kerana bertimbang rasa, merendah diri dan mempunyai budi bahasa yang tinggi," ujar ibu kepada 11 anak itu ketika ditemui di PPR berkenaan pada Isnin.
Suri rumah, Hafizah Paiman, 32, berharap, pemimpin yang menggantikan Allahyarham sebagai wakil rakyat nanti akan membantu mereka seperti sebelum ini setiap kali ada masalah.
"Boleh kata tiap-tiap minggu YB datang sini untuk mendengar aduan di PPR ini seperti masalah parkir, lif dan lampu. Semua ini sudah diberikan peruntukan dan dalam kini proses pembaikan," katanya yang mempunyai tiga cahaya mata.
Nurul Hasmidah Che Kamarudin, 35, mahu pengganti Allahyarham nanti yang akan menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meneruskan usaha beliau menurunkan harga barang.
Suri rumah dan ibu kepada dua anak itu mahu konsep rahmah yang diperkenalkannya tetap dilaksanakan walaupun Allahyarham sudah tiada.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Skuad Wanita PPR Melana Indah, Zarith Sofieah M Yusof berkata, Allahyarham amat prihatin soal kebajikan penduduk setempat termasuk memudahkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan isu atau permasalahan dialami.
Katanya, Allahyarham juga cepat bertindak dalam menyelesaikan isu penduduk membuatkan Salahuddin menjadi figura yang disenangi penduduk di Parlimen Pulai khususnya penduduk PPR tersebut.
"Pemergian Allahyarham memberi kesan mendalam buat penduduk di sini yang 80 peratus terdiri daripada golongan B40 yang terhutang budi dengan sumbangan yang diberikan. Ini tidak termasuk bantuan lain kepada pesakit kronik dan warga emas.
"Setiap kali aduan dipanjangkan ke pejabatnya, pasti kami akan dapat maklum balas dan tindakan segera pihaknya. Boleh dikatakan, penerima bantuan bakul makanan di sini tidak pernah putus bekalan, beliau tak sanggup tengok rakyat susah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!