Tubuh pasukan khas tangani rakyat tanpa dokumen pengenalan

Saifuddin Nasution - Foto Bernama
Saifuddin Nasution - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Sarawak telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi menangani isu rakyat tanpa dokumen pengenalan diri di negeri itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pasukan itu dibahagikan kepada jawatankuasa induk yang dipengerusikan secara bersama oleh beliau dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.

Beliau berkata, jawatankuasa induk akan menentukan soal dasar berkaitan isu dokumen pengenalan diri rakyat, manakala jawatankuasa teknikal akan membuat keputusan berhubung mekanisma dan kaedah untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di sini pada Isnin, beliau berkata, berdasarkan perangkaan dari Jabatan Premier Sarawak, sejumlah 9,314 penduduk di negeri ini telah dikenal pasti tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

"Kerajaan Sarawak ada pangkalan data yang memudahkan KDN untuk mengenal pasti kedudukan individu ini, dan sebagai permulaan ia memudahkan pasukan petugas khas ke lokasi tertentu untuk menyelesaikan isu yang timbul,” katanya.

Saifuddin berkata, di bawah inisiatif untuk menangani isu ini, ia akan bersifat khidmat bantuan, dengan agensi-agensi yang terlibat dalam pasukan petugas khas ini akan turun padang, tanpa memerlukan individu yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri tampil untuk memohon.

Pada majlis itu, beliau telah menyerahkan sejumlah 62 Surat Keputusan Kewarganegaraan Malaysia kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

"Inisiatif ini adalah hasil kerjasama antara KDN dan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak yang diterajui oleh menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah,” katanya.

Beliau berkata, di bawah perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, kerajaan Persekutuan boleh, dalam sesuatu hal keadaan khas mengarahkan seseorang yang berumur kurang daripada 21 tahun didaftarkan sebagai warganegara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!