[VIDEO] Minyak cap kapak pun tak ada, mana ada kapak - Sanusi
YAN - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan bahawa akaun media sosial TikTok miliknya memaparkan senjata berupa kapak dan keris sehingga menjadi punca dikenakan sekatan.
Menurutnya, tiada gambar senjata seperti dimaksudkan atau mempunyai kaitan dengan unsur keganasan di media sosialnya itu.
"Sebenarnya tak ada, saya dah periksa... minyak cap kapak pun tak ada, pasal apa nak bubuh kapak, tak ada punca ini," jelasnya ketika selesai menyerahkan Geran dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi Daerah Yan di sini pada Isnin.
Menurut Muhammad Sanusi, kenyataan dibuat seorang menteri yang menyifatkan terdapat unsur ugutan jenayah dalam akaun berkenaan, adalah tidak munasabah.
Sebelum ini, media melaporkan penjelasan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berhubung sekatan yang dikenakan ke atas akaun TikTok rasmi Menteri Besar Kedah baru-baru ini dipercayai akibat memaparkan senjata seperti kapak dan keris.
Menurut Fahmi, tindakan itu jelas melanggar garis panduan komuniti platform media sosial tersebut.
Sinar Harian sebelum ini turut memaparkan kenyataan Muhammad Sanusi yang mendakwa bahawa akaun TikTok miliknya disekat sebagai usaha menghalang kemaraan berkempen menerusi dalam talian.
Selain itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula menjelaskan bahawa kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana akaun TikTok sebaliknya ia milik sebuah syarikat teknologi dari China.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!