Dua wartawan Reuters akhirnya dibebaskan
YANGON - MYANMAR. Dua wartawan Reuters yang dipenjarakan di Myanmar selama lebih 500 hari kerana disabit bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi telah dibebaskan daripada Penjara Insein di Yangon hari ini.
Wa Lone, 33, dan Kyaw Soe Oo, 29, dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun pada September lalu dalam kes yang mencetuskan persoalan tentang perkembangan Myanmar menuju demokrasi selain menerima bantahan diplomat dan kumpulan hak asasi manusia.
"Saya sangat gembira dan teruja untuk bertemu keluarga dan rakan setugas.
"Saya sudah tidak sabar untuk kembali ke bilik berita," kata Soe Oo sambil melambaikan tangannya kepada wartawan.
Difahamkan pembebasan mereka itu dibuat di bawah langkah pengampunan yang diberikan Presiden Win Myint kepada ribuan tahanan sejak bulan lalu.
Sebelum penahanan mereka pada Disember 2017, Lone dan Soe Oo sedang membuat liputan terhadap pembunuhan 10 penduduk Rohingya di Rakhine ketika gelombang keganasan baharu bermula pada Ogos 2017.
Laporan berdasarkan temu bual bersama pelaku, saksi dan keluarga mangsa itu juga telah dianugerahkan Hadiah Pulitzer pada bulan lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!