Keperibadian tinggi Salahuddin dikenang rakan kabinet, pemimpin politik

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang meninggal dunia semalam, akan dikenang sebagai pemimpin berjiwa besar, amanah dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas khususnya bagi meringankan beban serta kos sara hidup rakyat menerusi inisiatif Payung Rahmah.

Pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu tidak hanya dirasai rakan seperjuangan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan malah pemimpin politik turut merakamkan ucapan takziah serta berkongsi pengalaman sepanjang mengenali beliau.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkongsi pertemuan terakhir beliau dengan Allahyarham pada mesyuarat Kabinet minggu lepas dan ketika itu, Salahuddin masih giat membawa agenda untuk meringankan beban kos sara hidup.

“Bukan senang jaga kementerian tersebut dalam keadaan sekarang. Banyak orang yang kata macam-macam, tertekan juga kerana kita ni semua manusia, bukan robot. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah,” katanya kepada pemberita di pekarangan Masjid Jamek Dato’ Noh Gadut, Serkat, Tanjung Piai, Johor.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching turut melahirkan rasa dukacita serta terkejut dengan berita pemergian Timbalan Presiden Parti Amanah Negara itu yang pernah saling membantu ketika berkempen di Kulai dan Pulai, Johor.

“Beliau merupakan seorang pemimpin yang tidak pernah putus asa, tak kiralah situasi pada masa itu sama ada gelombang untuk kami atau gelombang itu sebenarnya menentang kami tetapi beliau akan berjuang habis-habisan. Itu saya rasa satu semangat yang kita semua perlu contohi,” katanya.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pula menyifatkan pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram dan Ahli Parlimen Pulai itu sebagai kehilangan pemimpin berjiwa rakyat serta mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT manakala keluarganya tabah menghadapi ujian tersebut.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menerusi ciapan di Twitter pada Isnin, turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang baik budi pekerti dan merendah diri.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham YB (Yang Berhormat) Datuk Seri Salahuddin Ayub atas kembalinya beliau ke rahmatullah. Saya mengenali beliau dengan lebih rapat ketika bersama dalam Kabinet di antara tahun 2018 hingga 2020.

“Negara akan merasai kehilangannya. Didoakan semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, parti itu amat berdukacita dengan pemergian mengejut seorang rakan seperjuangan dan sahabat yang baik itu.

“Pada masa yang sukar ini, Warisan merakamkan ucapan takziah kepada Datin Seri Fatimah Taha, anak mereka dan ahli keluarga lain yang terjejas akibat kehilangan tragik ini,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan semoga keluarga Allahyarham Salahuddin dikurniakan ketabahan serta kekuatan.

“Pada yang mengenali serta bergiat aktif dengan Allahyarham sama ada kawan mahupun lawan, pasti akan mempunyai pandangan yang tinggi kepada Allahyarham. Tutur kata yang baik, penampilan yang lembut tetapi tegas dalam membawa isu-isu rakyat,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Bagi Presiden Persatuan Pencipta, Pelaku dan Penerbit (3P) Muzik Malaysia, Aris Ariwatan, Allahyarham adalah seorang yang prihatin serta sangat serius, mahukan ketelusan dan keadilan terutama berkaitan isu hak cipta, kutipan dan agihan royalti dalam industri muzik serta penciptaan lagu.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam semalam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Allahyarham, yang meninggalkan seorang balu dan enam anak terdiri daripada empat lelaki serta dua perempuan, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat di Johor pada Isnin. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Salahuddin Ayub meninggal dunia

'Berehatlah sahabatku...' - Anwar

Suasana pilu selubungi ketibaan jenazah Salahuddin

Belangsungkawa Datuk Seri Salahuddin Ayub

Jenazah Salahuddin selamat disolatkan di Masjid Al-Badar

Jenazah Salahuddin dikebumi di Pontian tengah hari Isnin

Jenazah Salahuddin akan disembahyangkan di Masjid Al-Badar

Salahuddin aktif pastikan tiada kenaikan harga barang - Mat Sabu

Salahuddin rakan baik, budiman - Sanusi

Pesawat khas bawa pulang jenazah Salahuddin ke Johor Bahru

Jenazah Salahuddin akan dikebumikan di Tanjung Piai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!