'Bukan anaconda tapi ular sawa biasa'
SHAH ALAM - Penduduk menafikan dakwaan seekor ular sawa gergasi atau anaconda yang tular di laman sosial sejak Sabtu ditemui di kawasan Elmina, Shah Alam.
Sebaliknya, reptilia itu hanya bersaiz ular sawa batik biasa dan ia nampak besar kerana video diambil secara zoom seperti yang tersebar di media sosial.
"Video dan berita yang disebarkan di laman sosial menakutkan orang ramai sedangkan ia tidak seperti ditularkan," kata penduduk sekitar kawasan Elmina di sini.
Mereka memberi reaksi berhubung penularan video yang memaparkan seekor ular sawa bersaiz gergasi didakwa ditemui di kawasan berbukit di kawasan itu.
Penduduk juga difahamkan bahawa terdapat kakitangan telah ke kawasan terbabit dan menjumpainya dan dipercayai bahawa ular itu sudah ditangkap.
Sebelum itu, tular sebuah video memaparkan haiwan liar itu sedang menjalar di kawasan berbukit yang sempat dirakam penduduk setempat.
Pengguna Twitter @Khairul_Bard turut berkongsi gambar saiz sebenar ular sawa berkenaan.
Katanya, video tersebut yang mempunyai imej tidak stabil mungkin diambil secara zoom, menyebabkan ular tersebut kelihatan begitu besar dan setakat ini, tiada kenyataan rasmi dari pihak keselamatan berhubung kewujudan haiwan liar itu.
Pada Ahad, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor tidak menerima sebarang laporan atau panggilan kecemasan mengenai ular gergasi di kawasan perumahan Elmina sebagaimana video tular di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!