PRN: 'Pertikaian kerusi boleh selesai sehari dua' - Ahmad Maslan
SHAH ALAM - Isu agihan kerusi tidak harus ditimbulkan kerana apa yang lebih utama ialah soal kemenangan koalisi Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, agihan kerusi itu juga telah dipersetujui pucuk pimpinan parti kerana sekiranya tiada persetujuan, nama calon sudah tentu tidak boleh diumumkan.
Bagaimanapun, katanya, kalau berlaku pertikaian pun ia tidak mengambil masa yang lama dan kebiasaannya boleh diselesaikan dalam tempoh sehari dua.
"Bagi saya, isu (pertikaian) ini hanya beri sedikit cabaran (kepada Kerajaan Perpaduan) yang mana dalam masa sehari dua dah boleh selesai.
"Tapi saya harap apa yang dirunding itu dipersetujui bersama," katanya ketika ditemui selepas program SinarLive bertajuk 'STR: Membantu atau membantut?' yang dihoskan Haizir Othman dan diadakan di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Isnin.
DAP pada Sabtu mengakui sedikit terkilan dengan keputusan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua yang disandang parti itu kepada calon Barisan Nasional (BN) untuk PRN pada Ogos depan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada Isnin pula dilaporkan berkata, partinya mencadangkan Lau Weng San sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor sekiranya Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dipilih menjadi kerajaan negeri di Selangor.
Menurutnya, ia sebagai syarat yang dikemukakan DAP berikutan penyerahan kerusi DUN Dusun Tua kepada BN.
Ditanya sama ada UMNO terkilan dengan permintaan DAP itu, Ahmad Maslan menegaskan, apa yang lebih penting adalah jumlah kerusi untuk UMNO atau BN di Selangor dinaikkan kepada 12 kerusi berbanding lima kerusi yang disandang sebelum ini.
"Yang penting bagi saya bukan kita timbulkan isu-isu seumpama ini, tapi lebih penting kita kena menang kesemua 12 kerusi. Bila kita menang bererti kita dapat bersama kerajaan negeri dan itu jadi satu pencapaian yang penting. Kita sebelum ini telah kalah pada 2008, 2013 dan 2018," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!