Baby Shima umum bertanding PRN, mahu bela nasib rakyat
SHAH ALAM - Penyanyi dangdut, Baby Shima mengumumkan dirinya akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Bagaimanapun Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli tidak memaklumkan parti mana yang akan diwakilinya nanti.
"Assalamualaikum rakyat Malaysia, dengan ini saya ingin mengumumkan yang saya akan bertanding PRN ini untuk berkhidmat dan membela rakyat.
"Ingat, kamu (pengundi) bawa perubahan (kepada negara). Fikir-fikirkan lah anak muda," katanya menerusi hantaran video di Instagram pada Isnin.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 5 Julai lalu menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon.
Sementara itu, hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos ini.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di Menara SPR, dekat sini
Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengumuman calon bertanding sehingga jam 11.59 malam, 11 Ogos ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!