Salahuddin, selamat pulang ke negeri abadi...

Allaryaham Datuk Seri Salahuddin Ayub
Allaryaham Datuk Seri Salahuddin Ayub
A
A
A

BERITA pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sememangnya memberikan kesan yang amat mendalam buat rakyat Malaysia termasuk seluruh warga kerja Sinar Harian.

Salahuddin adalah insan yang wajar diangkat sebagai pejuang rakyat dan meninggalkan banyak kesan besar kepada negara.

Mengambil contoh, beliau bersedia menjadi perasmi kepada program Anugerah Bisnes Sinar Harian (BISA) walaupun berlaku pindaan pada saat akhir. Beliaulah menjadi hero kepada pemain usahawan yang diketengahkan kami walaupun berlainan portfolio.

Malahan, masih terngiang-ngiang bait-bait ucapan Allahyarham yang berpesan kepada pemenang-pemenang anugerah itu untuk menjadi contoh atau pemangkin kepada rakan usahawan lain supaya setiap usahawan dapat memajukan perniagaan masing-masing seterusnya mampu menerjah ke dunia antarabangsa.

Sementara itu, Allahyarham akan dikenang sebagai pejuang rakyat terutama dalam isu kenaikan kos sara hidup dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif di bawah ‘Payung Rahmah’.

Pelbagai inisiatif di bawah jenama tersebut bagi membantu rakyat menghadapi pelbagai cabaran berhubung kenaikan kos sara hidup terutama ketika negara dan ekonomi sedang pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

Allahyarham juga dilihat sentiasa turun padang bagi memastikan bekalan barangan mencukupi dan usaha itu sedikit sebanyak berjaya menurun serta menstabilkan harga barangan asas selain mengurangkan kesan inflasi terhadap pengguna di dalam negara.

Satu sifat terpuji dimiliki Allahyarham ialah sentiasa bercakap lembut pada kawan dan lawan sehingga amat disenangi kedua-dua belah pihak.

Cara Allahyarham berkempen dan berceramah juga berbeza daripada ahli politik yang lain. Allahyarham telah berjaya membuat satu penanda aras politik matang dan hal ini wajar dijadikan iktibar buat pemain politik yang lain.

Hal ini turut diakui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Beliau berkata, persahabatan antara keduanya bermula pada tahun 1997 dan biarpun berbeza ideologi politik selepas penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) pada 2015, ia bukan halangan buat mereka untuk menjalin hubungan yang sangat rapat.

Selamat pulang ke negeri abadi. Segala jasa baik dan kerjasama akan terus dikenang oleh kami seluruh warga kerja Sinar Harian. Al-Fatihah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!