Tolak mata sebagai pengajaran kepada penyokong
CADANGAN mengenakan hukuman pemotongan mata kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) susulan tindakan segelintir penyokong Harimau Selatan yang berulang kali membakar suar bukan bertujuan untuk menjatuhkan pasukan tersebut.
Sebaliknya, pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, hukuman tersebut sekiranya terdapat dalam peruntukan peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), perlu dilaksanakan untuk memberikan pengajaran kepada segelintir penyokong JDT itu.
“Jika ada peruntukan yang melibatkan pemotongan mata terutama kerana kesalahan berulang, maka ia tidak menjadi isu dan tidak bolehlah nak kaitkan dengan unsur-unsur lain.
“Tak kisah dalam kes apa pun sama ada hukuman sivil, jenayah atau hukuman yang berkaitan dalam peraturan pertandingan dan sebagainya. Selalunya peraturan itu pertamanya dikenakan sebagai bentuk amaran. Kemudian, kalau buat lagi amaran itu akan disusuli denda dan seterusnya hukuman yang lebih berat.
“Setiap pihak tak kira siapa sahaja perlu menghormati peraturan dan memastikan bahawa undang-undang yang ada ini dipatuhi demi kebaikan liga,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mendenda JDT RM120,000 pada 6 Julai lalu atas tindakan penyokongnya menyalakan suar pada tiga perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) di Stadium Sultan Ibrahim.
Namun, segelintir penyokong itu tidak serik dan mengulangi tindakan tersebut dalam aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan FC dua hari kemudian sekali gus menyebabkan terdapat pihak yang mahu JDT dikenakan hukuman lebih berat seperti bermain di stadium kosong atau dikenakan pemotongan mata.
Bagaimanapun, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan cadangan pemotongan mata itu sebagai tidak gentleman.
Menurut Tunku Ismail, cadangan itu lebih kepada untuk melihat JDT ‘kalah’ dengan cara yang berbeza berbanding menewaskan juara sembilan kali berturut-turut Liga Super tersebut di atas padang.
Dalam pada itu, Pekan berkata, tindakan proaktif perlu dilakukan oleh FAM untuk mengelakkan perbuatan sama terus menular dan dianggap perkara biasa untuk dilakukan dalam stadium.
“Peraturan larangan suar ini saya rasa memang ada dalam mana-mana liga di seluruh dunia. Sebelum ia berleluasa, elok kita kawal dan bagi kesedaran yang tinggi kepada penyokong kerana ia boleh menyumbang insiden lebih buruk jika dibiarkan berlarutan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!