Tabung Sufi Syafrina: Beri harapan baharu untuk keluarga
SHAH ALAM - Pelancaran tabung Sinar Harian Sinar Di Hati untuk membantu Sufi Syafrina Mohd Shafiq memberi harapan baharu kepada ahli keluarganya.
Bapanya, Mohd Shafiq Idrus, 38, berkata, inisiatif itu diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mereka sekeluarga bagi menampung kos rawatan dan ubat.
“Usaha daripada pihak Sinar Harian amat bermakna dan ia satu usaha yang sangat murni.
“Setiap sumbangan bagi membantu kami walaupun RM1 dapat meringankan beban untuk menanggung pembelian ubat-ubatan bagi menyelamatkan anak saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mohd Shafiq berkata, rawatan bayi yang menghidap penyakit SMA Jenis 1 boleh pulih dengan bantuan ubat daripada pakar perubatan namun harganya amat mahal.
“Buat masa ini apa yang saya harapkan adalah hanya untuk melihat Sufi mampu membesar seperti kanak-kanak normal lain dan menjalani kehidupan dengan lebih baik.
“Usaha yang dijalankan Sinar Harian ini betul-betul buat saya terharu dan semoga ALLAH menghadirkan lebih ramai insan berhati mulia dan baik bersedekah untuk membantu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!