Tuai hasil lumayan tanam jagung
TANAH MERAH - Penanam pokok jagung berkelompok di Kampung Paloh, Bukit Panau di sini mendapat hasil tuaian lumayan pada musim kedua tanaman itu pada tahun ini.
Pendapatan sekitar RM3,000 diperolehi itu berikutan pokok jagung yang bebas daripada ancaman ulat selain faktor cuaca panas dan hujan sekali-sekala.
Seorang penanam jagung, Kamarulzzaman Kail, 65, berkata, penanaman pokok jagung manis gred 1603 dan 1606 itu diusahakan berlima dengan penanam lain di tanah ladang seluas 2.2 hektar.
Katanya, pokok jagung tidak perlu disiram jika cuaca hujan ketika menunggu proses matang.
“Jagung memerlukan tempoh antara 70 hingga 75 hari untuk matang dan sedia dituai selain memerlukan cuaca panas serta dingin atau bukan kemarau.
“Ulat juga tidak ada ketika musim kedua ini membantu mendapatkan hasil pertanian yang sangat baik sebanyak dua kali ganda berbanding musim pertama tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.
Menurutnya, penanaman jagung secara berkelompok itu sudah dilakukan sejak tahun 80-an dengan hasil-hasil jagung dijual secara runcit dan borong di sekitar negeri Kelantan termasuk Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjong.
“Jualan secara runcit dilakukan di sepanjang bahu jalan di kawasan Paloh dengan harga bagi empat batang jagung ialah RM5 atau tiga batang untuk saiz yang lebih besar,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Hafizudin Kamarulzzaman, 32, berkata, musim baharu penanaman akan bermula pada Ogos ini dan mengharapkan perkara sama iaitu cuaca baik serta bebas serangan serangga untuk mendapatkan hasil jagung yang terbaik.
“Sama seperti musim ini, musim-musim akan datang diharapkan dalam keadaan cuaca panas dan dingin serta tidak banjir sebelum tiba musim menuai.
“Lokasi ladang yang berada di tebing sungai Kelantan ini berisiko banjir yang akan menenggelamkan serta merosakkan pokok-pokok jagung jika berlaku,” katanya.
Menurut pemuda itu, penanaman pokok-pokok jagung tersebut mendapat bantuan enjin air dan jentera untuk membina batas tanaman daripada Jabatan Pertanian Kelantan.
“Mereka juga memberikan bantuan baja baru-baru ini kerana modal baja antara yang tinggi dalam proses untuk penanaman jagung.
“Satu guni baja seberat 50 kilogram berharga RM210. Proses membaja perlu dilakukan sebanyak dua kali setiap musim dengan sebanyak tiga kilogram akan digunakan bagi setiap 0.4 hektar luas tanaman,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!