Jocelyn Chia sekali lagi perlekeh Malaysia
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pelawak kontroversi, Jocelyn Chia sekali lagi memperlekeh kerajaan Malaysia susulan tindakan biadap kumpulan muzik dari British, The 1975, yang membuat persembahan di sini, baru-baru ini.
Jocelyn menerusi Twitter peribadinya semalam turut mempersoalkan mengapa kerajaan Malaysia tidak mengarahkan Interpol menahan kumpulan terbabit dan secara sinis mengalu-alukan vokalis kumpulan itu, Matty Healy dalam senarai individu yang disenarai hitam oleh negara ini sebagaimana pernah dihadapinya.
"Selamat datang Matty Healy ke dalam senarai yang disekat oleh Malaysia. Namun, mana arahan supaya dia ditahan dan Interpol digesa mengesan di mana dia berada kerana dikatakan melanggar undang-undang Malaysia ketika berada di negara itu?
"Adakah Malaysia telah melonggarkan (undang-undang sedia ada)...atau apa sebenarnya...," katanya dalam ciapan menerusi akaun Twitternya, @JocelynChia.
Ciapan berkenaan bagaimanapun hanya mendapat 34 tanda suka dengan kebanyakan pengguna Twitter bertindak mengecam kenyataan pelawak terbabit.
Pengguna Twitter, @Jailo berkata, pelawak itu terdesak dan memerlukan perhatian ramai.
“Alahai nyonya ni...sibuk sangat dengan Malaysia ek...kesiann...obsessed dengan Malaysia...hihi,” katanya
Seorang lagi pengguna, @AnuarMahyu pula meminta supaya pelawak itu tidak lagi mencetuskan kontroversi.
"Move on (sudahlah) mak cik. Ramai orang yang dah lupa dengan apa yang berlaku. Sudahlah tak laku di Amerika Syarikat, terdesak sangat untuk kekal relevan," katanya.
Ciapan Jocelyn itu sengaja menimbulkan provokasi terhadap Malaysia dengan mengaitkan isu aksi dan kenyataan biadap kumpulan The 1975 ketika membuat persembahan pada Festival Good Vibes 2023 di Sepang, Sabtu lalu.
Healy dikecam teruk susulan aksi memegang botol arak ketika membuat persembahan dan turut bertindak kurang sopan dengan meludah dan mencium mencium anggota kumpulannya yang juga pemain gitar bass, Ross McDonald.
Sebelum ini, Jocelyn yang juga pelawak kelahiran Singapura, dikecam pelbagai pihak kerana lawak kontroversinya berhubung kehilangan pesawat penerbangan Malaysia, MH370.
Tindakannya itu mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk Malaysia dan Singapura kerana tidak sensitif terhadap perasaan keluarga mangsa.
Insiden yang tular di media sosial itu membabitkan satu persembahan komedi bertajuk 'Singapore vs Malaysia' di New York, Amerika Syarikat, Jun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Lawak melampau: Singapura mohon maaf
Malaysia kecam jenaka keterlaluan pelawak Singapura
Netizen kecam pelawak Singapura jadikan MH370 bahan jenaka
Guna MH370 bahan jenaka adalah keji, jijik - Isteri pramugara
Jenaka MH370: 'Pelawak perlu tahu sensitiviti, empati'
Lawak biadab: Kerajaan serah SKMM, PDRM buat siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!