Zamani masih dalam tempoh pemulihan

Zamani berharap dalam menyesuaikan diri dengan situasi yang dihadapi kini.
Zamani berharap dalam menyesuaikan diri dengan situasi yang dihadapi kini.
A
A
A

BIARPUN semakin pulih selepas menjalani pembedahan akibat masalah skoliosis atau tulang belakang melengkung, penyanyi Zamani Ibrahim mengakui masih menahan kesakitan pada masa tertentu.

Jelas vokalis kumpulan Slam yang berusia 52 tahun itu, tempoh pemulihan yang dilalui tidak seperti apa yang dijangkakan sebelum menjalani pembedahan itu.

"Kalau ikutkan keadaan saya sudah 80 peratus baik. Bagaimanapun badan saya mungkin masih perlu masa untuk sesuaikan dengan keadaan sebab ia bukan yang original (tulang asal).

“Saya fikir lepas pembedahan boleh rasai apa itu normal, tapi sampai sekarang belum dapat keselesaan seperti yang saya impikan.

“Rasa sakit itu bukan berpunca dari besi yang digunakan untuk betulkan bahagian tulang belakang tetapi disebabkan besi sokongan lain yang perlu dimasukkan pada bahagian kiri dan kanan tubuh,” katanya ketika ditemui pada sesi wawancara sempena Konsert Nurkasih di studio di Ukay Perdana, Ampang baru-baru ini.

Konsert Nurkasih turut dijayakan anggota Slam yang lain seperti, Shah (gitaris), Eddie (keyboard), Lili (bes) dan Man (dram), dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, pada 6 Ogos ini.

Tambah Zamani, kesakitan yang dialami lebih menyeksa berbanding sebelum menjalani pembedahan. Namun, pelantun Gerimis Mengundang itu tidak sesekali menyesal melakukan pembedahan.

Bahkan kesakitan itu masih boleh ditanggung dan ia bukanlah pada tahap yang membimbangkan.

"Saya ada juga berjumpa dengan doktor dan dia maklumkan tidak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan dan tubuh saya akan boleh menerima sedikit masa lagi.

"Alhamdulillah, saya lebih bersyukur dengan keadaan sekarang cuma kena biasakan diri dengan rasa sakit itu,” jelasnya.

Oleh itu, Zamani masih berjaga-jaga melakukan sebarang aktiviti harian biarpun pergerakannya masih lagi terbatas.

“Saya masih tak boleh mencangkung dan solat seperti biasa. Kena solat duduk di kerusi.

"Bagaimanapun saya tetap teruskan aktiviti seni seperti biasa, kalau penat saya duduk," ujarnya.

Terdahulu, Zamani menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis pada November tahun lalu.

Prosedur membetulkan tulang melengkung di sebuah hospital swasta itu mengambil masa hampir tujuh jam dan penyanyi berkenaan perlu ditidurkan sebelum pembedahan dilakukan.

Perkembangan proses pembedahan penyanyi itu turut dikongsikan pengacara dan selebriti popular, Datuk Aznil Nawawi menerusi Instagram miliknya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!