Salahuddin mudahkan urusan media - Ketua Pengarang Sinar Harian

Laporan muka depan akhbar Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Zamri
Laporan muka depan akhbar Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Zamri
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] "Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub adalah pemimpin yang sangat merendah diri dan sentiasa mempermudahkan tugasan orang lain terutama pengamal media," kata Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli.

Ujar Zamri, sebelum ini beliau telah beberapa kali bertemu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu atas urusan tugas media.

“Pada awal tahun ini, Sinar Harian menganjurkan anugerah Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) untuk industri bisnes dan usahawan Malaysia.

“Di peringkat awal kita sudah menjadualkan jemputan seorang menteri dengan portfolio perniagaan, namun dimaklumkan tidak dapat hadir seminggu sebelum program.

“Bagaimanapun pada saat-saat akhir, kita membuat keputusan untuk menjemput Salahuddin kerana kementeriannya sedang menggerakkan Daya Rahmah,” katanya.

Allahyarham - Foto Bernama
Allahyarham - Foto Bernama

Menurut Zamri, walaupun Ahli Parlimen Pulai itu mempunyai program lain pada malam Anugerah BISA, beliau tetap hadir untuk merasmikan acara dan bergambar bersama para pemenang.

Jelasnya, Salahuddin tidak pernah merungut dan berkira dalam menyokong media.

“Tidak hanya BISA, Allahyarham juga tidak teragak-agak memberi persetujuan untuk menjadi tetamu program TownHall Rakyat Sinar Harian.

“Walaupun program itu agak mencabar dengan soalan yang diajukan oleh penonton secara langsung, namun Salahuddin sangat tenang dan bijak menyusun jawapan,” ujarnya.

Pihak Sinar Harian turut menghargai kesungguhan Allahyarham dan kementeriannya kerana berjaya menjadikan ‘Rahmah’ satu fenomena di Malaysia.

“Terima kasih YB atas sumbangan dan keringat demi rakyat.

“Semoga ALLAH mengampunkan segala dosa, menerima segala amalan dan mengangkat darjatmu,” kata Zamri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!