PRN: Pemuda UMNO tidak terpilih jadi calon jangan kecil hati
JOHOR BAHRU - Pemimpin UMNO terutama dalam kalangan sayap yang tidak dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya di enam negeri pada bulan depan dinasihatkan supaya tidak berkecil hati.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Md Shah berkata, mereka tidak seharusnya merasa 'ditinggalkan' sebaliknya terus menyokong parti.
"Mereka yang tidak layak jangan kecil hati atau rasa ketinggalan dan ketua pemuda baharu jangan ambil langkah pelik, ini adalah penyusunan strategik kepimpinan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Skuad Muda Southern Volunteers Sekolah Peringkat Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Jaafar, di sini pada Selasa.
Pada Jumaat, BN telah memperkenalkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
PRN itu membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan ditetapkan pada 12 Ogos dengan hari penamaan calon pada 29 Julai.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pemuda BN berkata, calon yang terpilih memikul tanggungjawab yang besar untuk memenangkan parti.
"Saya ada menghubungi beberapa calon muda yang akan bertanding nanti, saya ingatkan mereka jaga etika, perangai dan jangan sombong atau bongkak. Allahyarham (Datuk Seri Salahuddin Ayub) ada menasihati saya jawatan ini hanya sementara, jadi penting untuk menjaga etika.
Beliau berkata, Pemuda UMNO berpuas hati apabila pucuk pimpinan parti memberikan kepercayaan kepada calon muda untuk bertanding pada PRN dan disifatkan sebagai langkah awal proses merejuvenasikan parti seperti dirancang sebelum ini.
"Saya sempat mengadakan pertemuan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam (semasa pengkebumian Datuk Seri Salahuddin Ayub) dan ucapkan terima kasih kerana beri kepercayaan kepada calon muda.
"Saya berbesar hati melihat ramai calon muda khususnya rakan seperjuangan dalam pergerakan Pemuda sejak jadi pembangkang dan menjadi kerajaan kini bergelar calon," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu.
Hairi yang juga Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri berkata, keputusan parti meletakkan ramai calon muda harus dipuji.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!