'Ada individu tergugat dengan kehadiran saya' - Rafie
SEREMBAN - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek mendakwa tidak dicalonkan semula pada pilihan raya Negeri Sembilan berikutan ada individu tergugat dengan kehadirannya dalam kerajaan negeri.
Menurutnya, pencapaian cemerlang serta nilai keperibadian dengan integriti yang baik yang ada pada dirinya menjadi ancaman kepada individu tersebut.
"Selaku penyandang kerusi DUN Ampangan, saya tersentak apabila saya tidak dicalonkan semula untuk PRN.
"Hakikatnya umum mengetahui bahawa saya telah berusaha secara bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat di Ampangan dan memajukan Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataannya di Facebook.
Menurutnya, pembangunan di Ampangan dalam tempoh satu penggal di bawah jagaannya jelas rancak membangun dengan pasar moden empat tingkat menggantikan pasar lama yang uzur, Kompleks Komuniti Ampangan setinggi tiga tingkat menggantikan Balai Penghulu yang lama, Dataran Ampangan dan Jejantas Ampangan.
Malah katanya, kesemua kemudahan awam seperti balai raya, gelanggang futsal, gelanggang takraw dan pelbagai lagi telah dinaik taraf dan kondusif untuk digunakan.
"Masalah banjir yang kerap berlaku telah berjaya saya selesaikan dengan baik.
"Saya juga dikenali sebagai mesra penduduk dan membantu kesemua tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan fahaman politik," katanya.
Tambahnya lagi, prestasinya selaku Exco Negeri Sembilan dalam portfolio Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan juga amat cemerlang.
Beliau berkata, dirinya turut dikenali dengan nilai integriti yang tinggi kerana tidak pernah terbabit dengan salah guna kuasa, rasuah, nepotisme, kronisme atau apa-apa yang mencemarkan keperibadian.
Oleh sebab itu katanya, individu terbabit serta rakan-rakannya di peringkat pusat telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikannya dikeluarkan daripada kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan.
"Namun demikian, saya sedang berusaha untuk memaklumkan kepada Presiden PKR (Parti Keadilan Rakyat), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menilai semula pencalonannya di Ampangan.
"Beliau perlu membuat perubahan ini kerana kaji selidik di kawasan Ampangan menunjukkan secara majoriti mahukan saya meneruskan perkhidmatan di Ampangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!