PRN: Calon Pemuda UMNO diberikan KPI
SHAH ALAM - Calon Pemuda UMNO yang menang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti akan diberikan petunjuk prestasi utama (KPI).
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh memaklumkan, KPI itu dinilai secara berkala berdasarkan tinjauan sentimen masyarakat tentang pencapaian perkhidmatan tanpa makluman awal kepada wakil rakyat tersebut.
“Mana-mana yang tidak menepati KPI akan dipanggil dan diberikan amaran serta tindakan bakal diambil, saya amat tegas dalam perkara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sinar Harian pada 21 Julai melaporkan, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan 107 calon daripada gabungan itu akan bertanding dalam PRN dengan 245 kerusi DUN dipertandingkan di enam negeri terlibat.
Beliau yang juga Presiden UMNO menjelaskan, calon terdiri daripada muka baharu, pernah bertanding, yang kalah dan menawarkan diri semula, merangkumi 62 peratus wajah baharu selain 35 calon muda.
Sementara itu, Muhamad Akmal berkata, perkara wajib dilakukan sebelum ingin digelar sebagai 'yang berhormat' adalah menjadi orang 'yang berkhidmat' terlebih dahulu.
“Pemimpin yang dipilih mesti membawa suara rakyat, bukan hanya suara daripada pihak atasan,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!