Presiden Filipina adakan Lawatan Negara ke Malaysia

Anwar (kiri) berjabat tangan dengan Ferdinand R Marcos Jr ketika mengadakan pertemuan pada lawatan rasmi dua hari ke Filipina di Istana Malacanang, Manila, Filipina pada Mac lalu. - Foto Bernama
Anwar (kiri) berjabat tangan dengan Ferdinand R Marcos Jr ketika mengadakan pertemuan pada lawatan rasmi dua hari ke Filipina di Istana Malacanang, Manila, Filipina pada Mac lalu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Presiden Filipina, Ferdinand R Marcos Jr mengadakan lawatan negara sulungnya ke Malaysia selama tiga hari bermula Selasa.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan Marcos Jr itu menggambarkan jalinan persahabatan dan hubungan erat antara kedua-dua negara selaku jiran rapat serta negara anggota ASEAN.

Ia termasuklah menerusi pertukaran lawatan di tahap tertinggi seperti lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Manila pada Mac lalu.

Ketibaan Marcos Jr diiringi oleh pasangannya, Louise Araneta-Marcos dan deligasi antaranya setiausaha kabinet, ahli-ahli politik serta pegawai kanan Filipina.

Beliau akan diberikan Sambutan Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Rabu.

Selepas itu, Marcos Jr dijadual akan mengadakan Kunjungan Menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong, disusuli dengan Majlis Santapan Negara.

Sewaktu lawatan tersebut, Marcos Jr juga dijadualkan bertemu dengan Anwar dan kedua-dua pemimpin dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Pada tahun 2022, Filipina merupakan rakan dagangan dunia ke-15 terbesar Malaysia dan kelima terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM41.45 bilion (AS$9.42 bilion).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!