Caj parkir percuma terdedah tindakan undang-undang - MB

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Amirudin)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Amirudin)
A
A
A

RAWANG - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membidas pembangkang kononnya akan melaksanakan caj parkir percuma di Selangor Utara sedangkan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) terikat dengan perjanjian dengan syarikat konsesi sejak sebelum tahun 2008.

Amirudin memberitahu, Perikatan Nasional (PN) seharusnya lebih berhati-hati dengan tawaran dikemukakan kerana ia terdedah dengan tindakan undang-undang daripada syarikat konsesi yang mempunyai tempoh perjanjian puluhan tahun.

"Kalau hendak beri caj parkir percuma, bermakna kerajaan perlu berbelanja atau membayar saman kepada syarikat (konsesi) ini.

"(Saya ingin bertanya PN) hendak senangkan rakyat atau syarikat ini akan dapat ganti rugi?" soalnya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Taman Industri Hijau di Kota Puteri di sini pada Selasa.

Beliau memberitahu, pada masa ini, kerajaan Selangor juga menangguhkan caj parkir di Sabak Bernam dan sebahagiannya lagi di beberapa kawasan di Kuala Selangor.

"Sekarang pun di (Sabak Bernam) kita tangguhkan dan masih lagi percuma, manakala di Kuala Selangor ada beberapa kawasan komersial sahaja dikenakan caj letak kenderaan," ujar beliau.

Beliau memberitahu, pembangkang sememangnya sedar tentang implikasi pemansuhan caj parkir sekiranya dilaksanakan di negeri ini.

"Pembangkang tidak ada apa-apa (perancangan pembangunan), akhirnya mereka tawarkan parkir percuma, sebaliknya kita tawar (pelaburan) seperti taman perindustrian dan peluang pekerjaan," tambah beliau.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, PN berikrar mengecualikan bayaran parkir di Selangor Utara sekiranya rakyat memberi mandat kepada parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos depan.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu tidak sukar dilaksanakan kerana beliau dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi mempunyai pengalaman semasa mentadbir Selangor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!