Sanusi Pengerusi MBI, takkan tidak tahu - Mahdzir
ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor seharusnya tahu tentang pentadbiran di Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah kerana menjawat jawatan sebagai pengerusi di organisasi tersebut.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pemimpin tersebut perlu berterus-terang dan tidak perlu menyembunyikan 'apa-apa di bawah karpet'.
Menurutnya, Muhammad Sanusi berhak untuk tidak menjawab persoalan berkaitan isu unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik kerana mendakwa tidak mempunyai kuasa eksekutif di MBI namun sebagai pengerusi perlu maklum dengan perjalanan operasi projek entiti itu.
"Dia pengerusi MBI. Saya ingat kenyataan saya lebih awal daripada itu ialah menyatakan bahawa sebenarnya MBI tak perlu nak letak bawah karpet apa-apa (isu REE). Cerita benda yang betul sahaja lah kan.
"(Kenyataan) itu perlu dikeluarkan daripada MBI. Datuk Seri Sanusi adalah Pengerusi MBI.
"Dia lebih tahu daripada orang lain. Tak kan lah CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dengan pegawai dia tak brief (bentang) dia," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat BN dan Pakatan Harapan Negeri Kedah di Bangunan Tunku, dekat sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Muhammad Sanusi menegaskan tidak mempunyai kuasa eksekutif kepada MBI Kedah sehingga mengetahui seluruh perjalanan operasi projek entiti itu.
Perkara tersebut termasuk kedudukan dua warga China yang dibawa masuk ke negara ini oleh MBI Kedah untuk melakukan kerja menjejalah REE seperti dipersoal Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah kedah menjelaskan, sebagai Pengerusi MBI, jawapan 'saya tidak mempunyai maklumat' tentang isu REE seharusnya tidak keluar daripada mulut Muhammad Sanusi.
"Manisnya dia kata nanti saya 'check' lah ayat tu lah dulu kan. Tak payahlah berkata dia tak tahu. Tak kan tak tahu," ujar beliau lagi.
Tambahnya, beliau sebelum ini pernah menjadi Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan tetap mengambil tahu perjalanan organisasi itu walaupun diuruskan sepenuhnya oleh pengurusan TNB.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!